ALOR SETAR, 19 Disember- Program penanaman padi lima musim dalam tempoh dua tahun di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dijangka melonjakkan pendapatan pesawah, dengan hasil padi dianggarkan meningkat sebanyak 46,000 tan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata hasil padi yang kini mencatat purata lima tan sehektar berpotensi mencapai 5.6 tan sehektar selepas pembangunan infrastruktur Fasa 1 bernilai RM761.23 juta dilaksanakan.
“Tapi fasa yang pertama sekarang ini, bernilai RM761.23 juta yang ditandatangani, sedang dilaksanakan. Ini melibatkan 15 blok sistem pengairan tersier bernilai RM526.37 juta dan projek pemulihan bernilai RM234.46 juta.
“Semua ini sedang dilaksanakan, dan produktiviti dijangka akan bertambah, insya-Allah, melalui penggunaan benih berkualiti, penjagaan rapi, pengairan yang lebih baik, dan sebagainya.
“Kita yakin hasilnya akan meningkat,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Konsesi Cadangan Pembangunan Infrastruktur bagi menyokong program tersebut di Ibu Pejabat MADA di sini.
Beliau turut menyatakan bahawa pengeluaran padi dijangka meningkat daripada 775,000 tan dengan nilai RM1.008 bilion kepada 821,000 tan dengan nilai RM1.068 bilion, iaitu peningkatan sebanyak enam peratus.
Selain itu, purata pendapatan kasar pesawah dijangka meningkat daripada RM31,000 kepada RM46,000 setahun dengan pelaksanaan musim tambahan penanaman padi.
Tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa program peningkatan infrastruktur itu akan dijalankan secara berperingkat, dengan anggaran keseluruhan kos kira-kira RM5 bilion.
Projek berkenaan, yang mendapat kelulusan prinsip pada 28 Jun 2023, akan dilaksanakan melalui pendekatan Request For Proposal (RFP) secara kerjasama awam-swasta.-Berita RTM