Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Malaysia dan Turkmenistan menubuhkan suruhanjaya bersama bagi memperluas usaha sama dalam pelbagai sektor termasuk industri minyak dan gas.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata Menteri Luar kedua-dua negara akan mengambil langkah susulan pada awal tahun depan bagi menjayakan kerjasama berkenaan.

“Sejak lawatan terakhir pada 2016 oleh Gulbanguly Bardi Mohabbatov ketika itu sebagai Presiden dan kini sebagai pemimpin kebangsaan, kita menyaksikan pengukuhan kerjasama ini dan melihat kesediaan serta sokongan mereka (Turkmenistan) terhadap industri, terutamanya Petronas Carigali.

“Oleh itu, bagi pihak kerajaan dan rakyat Malaysia, saya ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih, serta memberi jaminan kepada Presiden bahawa kerjasama ini akan sangat bermakna untuk memastikan manfaat dan kejayaan bersama bagi kedua-dua negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Presiden Turkmenistan, Serdar Berdimuhamedow sempena lawatan rasminya ke Malaysia di sini, hari ini.

Dalam kenyataan bersama selepas sidang media terbabit, kedua-dua pemimpin komited untuk membina kerjasama jangka panjang yang kukuh, dengan fokus utama pada industri minyak dan gas, demi pertumbuhan serta kemakmuran bersama.

Kedua-dua pemimpin turut menekankan kepentingan memperkukuh kerjasama dalam sektor tenaga dan mengakui pengalaman positif PETRONAS dalam bidang berkenaan.

Anwar dan Berdimuhamedow juga bersetuju bahawa perkongsian ekonomi antara Turkmenistan dan Malaysia mempunyai potensi besar dan menyatakan kesediaan untuk membangunkannya berdasarkan kesaksamaan dan manfaat bersama.

Sehubungan itu, mereka menyambut baik penubuhan Majlis Perniagaan Turkmenistan-Malaysia.

Terdahulu, Anwar dan Berdimuhamedow menyaksikan pertukaran tujuh Memorandum Persefahaman (MoU) dan nota perjanjian antaranya berkaitan pemansuhan sebahagian syarat visa bagi pemegang pasport diplomatik dan rasmi serta kerjasama dalam bidang industri penerbangan dan pelancongan.

Ia termasuk protokol di antara PETRONAS dan entiti kerajaan Turkmenistan, Turkmennebit mengenai Terma Komersial Perjanjian Perkongsian Pengeluaran Blok 1 yang baharu, Sektor Turkmenistan di Laut Caspian.-BH Online