Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Festival Idea Putrajaya (Putrajaya FOI) akan dijadikan acara tahunan dalam usaha untuk mengangkat Putrajaya sebagai `The City of Ideas’ untuk negara ini selain dunia.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata penganjuran program itu akan dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menurutnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga sudah menyatakan kesediaan untuk menjadikan Putrajaya FOI sebagai antara program mercu tanda negara selain memberi jaminan ia akan menjadi acara tahunan.

“Saya ingin nyatakan program ini bukan lagi semata-mata menjadi program KPT (Kementerian Pendidikan Tinggi). Satu jawatankuasa khas akan diwujudkan selepas ini melibatkan pelbagai kementerian serta agensi, ” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Apresiasi Festival Idea Putrajaya 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini. 

Putrajaya FOI berlangsung di PICC selama tiga hari berakhir 29 November lalu. Ia mendapat sambutan mengalakkan dengan kehadiran lebih 100,000 pengunjung.

Yang turut hadir, timbalannya, Datuk Seri Mustapha Sakmud.-BH Online