Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Lebih banyak program pembangunan akan dilaksanakan pada tahun depan bagi memastikan bekalan bakat yang mencukupi untuk sektor aeroangkasa Malaysia.

Ia mengambil kira jurang besar yang wujud antara keperluan industri terhadap bakat yang mampan dan cekap dalam sektor terbabit, selain potensi besar yang terhidang dalam industri aeroangkasa negara.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz melalui satu muat naik di Facebook selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Aeroangkasa Malaysia 2/2024 kelmarin.

Memberi contoh penyelenggaraan, pembaikan dan operasi (MRO), beliau berkata Rantau Asia Pasifik akan memerlukan lebih 143,000 kakitangan mahir untuk itu menjelang 2042.

Bagaimanapun, katanya pada masa ini Malaysia hanya mampu untuk mengeluarkan kira-kira 120 jurutera pesawat berlesen setiap tahun.

“Menangani jurang ini bukan sekadar peluang, tetapi satu keperluan untuk memastikan kita mempunyai kumpulan bakat yang mampan dan cekap dalam negara,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memaklumkan Malaysia sedia bekerjasama dengan mana-mana negara yang berhasrat untuk berkongsi teknologi serta membantu dalam membangunkan industri pertahanan negara, selaras fokus kerajaan untuk membangun dan memantapkan industri pertahanan negara.

Dalam merealisasikan fokus berkenaan, katanya Malaysia tidak semestinya perlu menjadi pengeluar aset pertahanan seperti negara membangun lain, namun lebih memfokuskan elemen menawarkan pelbagai medium perkhidmatan dalam industri pertahanan.

Sehubungan itu, fokus kerajaan pada masa ini adalah lebih memberi tumpuan kepada pelaksanaan MRO, pengeluar komponen serta menumpukan bidang teknologi dan aset-aset pertahanan.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata sebagai sebahagian usaha berterusan dalam membangunkan bakat untuk industri aeroangkasa, Pusat Aeroangkasa Malaysia (MyAERO) di bawah National Aerospace Industry Corporation Malaysia (NAICO) telah pun melancarkan beberapa program seperti ‘Future Leaders in Innovation Growth & High Technology’ (FLIGHT) yang menawarkan latihan jangka pendek untuk meningkatkan kemahiran jurutera dan kakitangan aeroangkasa. 

Selain itu, program MyAERO Talent di sekolah-sekolah Johor dan Melaka turut mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai. 

“Insya-Allah, lebih banyak lagi program pembangunan akan dilaksanakan tahun depan bagi memastikan bekalan bakat yang mencukupi untuk sektor aeroangkasa Malaysia,” katanya.-BH Online