KUALA LUMPUR: Pembangunan Pusat Data Bagan Datuk di Perak yang bakal dimulakan pada suku kedua tahun depan disifatkan sebagai pencetus perubahan atau ‘game-changer’ ekonomi yang membuktikan Malaysia menjadi pilihan utama hab pusat data serantau.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata pembangunan itu turut membuktikan sinergi dan usaha sama strategik antara kerajaan serta swasta yang memberi manfaat kepada Perak dan keseluruhan negara sebagai pemain utama dalam sektor ekonomi digital global.
“Ini kerana Malaysia berada di era teknologi digital di mana inovasi dan kecekapan menjadi penentu daya saing global yang mana ekonomi digital dijangka menyumbang 25.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang tahun depan.
“Penubuhan pusat data di Bagan Datuk ini bukan yang pertama, berikutan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim beberapa bulan lalu menyempurnakan majlis pecah tanah pusat data Google Cloud bernilai RM8.2 bilion yang akan dibangunkan di Selangor.
“Justeru, usaha membangunkan Fourth Tier Data Center di Bagan Datuk ini bakal memperlihatkan daerah terbabit mempunyai potensi dalam sektor teknologi setanding dengan pusat metropolitan lain di seluruh dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MOA) berkaitan Penbangunan Pusat Data Bagan Datuk antara MARA Incorporated Sdn Bhd (MARA Inc) bersama FELCRA Berhad dan Privabytes Sdn Bhd di di Sofitel Damansara di sini, hari ini.
Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Ketua Pegawai Eksekutif MARA Inc, Mohd Fadzil Mohd Idris dan Ketua Pegawai Eksekutif PRIVASIA Technology Berhad, Datuk S Puvanesan.
Pusat Data Fourth Tier itu berkapasiti 10 megawatt (MW) itu, dibangunkan di atas tanah berkeluasan 20.2 hektar yang dimiliki oleh FELCRA Berhad bertempat di Bagan Datuk.
Projek itu bakal dibangunkan oleh PRIVASIA Technology Berhad menerusi anak syarikat PRIVABYTES Sdn Bhd.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, pusat data baharu itu akan menyediakan infrastruktur kritikal untuk menyokong operasi perniagaan moden selain membuka luas peluang dalam sektor seperti perkhidmatan kewangan, perdagangan elektronik dan industri teknologi tinggi.
“Fasiliti bertaraf antarabangsa ini juga berpotensi menarik pelaburan asing khususnya daripada syarikat multinasional, yang akan mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai hab teknologi serantau.
“Sebagai Ahli Parlimen Bagan Datuk, pemilihan kawasan ini bukan sahaja berpotensi dari segi kedudukannya yang
strategik untuk menampung keperluan pusat data tetapi juga mampu menjadi pencetus perubahan ekonomi di kawasan perdesaan lain berhampiran khusus di
Perak, sekali gus memberi manfaat ekonomi
besar kepada masyarakat setempat.
“Selain itu, projek ini bakal mewujudkan peluang pekerjaan merangkumi pelbagai bidang daripada teknikal, pembinaan
hingga ke pengurusan.
“Peluang ini secara langsung akan meningkatkan taraf hidup masyarakat setempat sambil menjadi pemangkin kepada penciptaan peluang ekonomi baharu yang seharusnya direbut warga tempatan,” katanya.
Untuk rekod, projek itu mengambil tempoh 10 tahun yang akan membuka berpuluh ribu pulang pekerjaan khususnya di Perak.-BH Online