KUALA LUMPUR: Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586) perlu dipindah terlebih dahulu sebelum mekanisme kawalan terhadap kos perubatan seperti kumpulan berkaitan diagnosis (DRG) boleh dilaksana bagi mengimbangi kenaikan kadar premium insurans dan caj perubatan tinggi di fasiliti kesihatan swasta.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata untuk itu pihaknya menyasarkan pindaan terhadap akta berkenaan dapat dilakukan pada suku kedua tahun depan.
Beliau mengakui tidak boleh terlalu tergesa-gesa dalam melaksanakan mekanisme kawalan kos perubatan meskipun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berpandangan ia perlu dipercepatkan.
“Kena pinda (Akta 586) terlebih dahulu baru boleh laksanakan antaranya DRG. Mungkin ia kena ambil masa untuk pastikan ia dilakukan dengan baik dan lancar.
“Ini penting untuk lakukan terbaik demi mencapai nilai penjagaan kesihatan ditetapkan, adil untuk syarikat insurans, pengendali hospital swasta dan semua orang. Pindaan juga akan melibatkan semua pemain industri termasuk Pejabat Peguam Negara (AGC),” katanya pada sidang media di Dewan Rakyat hari ini.
Ditanya apakah pindaan terhadap Akta 586 akan memberi kuasa kepada KKM untuk memantau hospital swasta, Dr Dzulkefly berkata ia lebih kepada memberi ruang kepada pihaknya untuk menetap ‘ukuran’ terhadap caj perubatan.
Beliau percaya langkah sedemikian dapat memberi keadilan bukan semua pihak.
“Saya tak boleh kata ada kuasa, tetapi kita akan wujudkan pindaan yang akan mengizinkan, cara untuk (mengawal) sesuatu prosedur atau pun dikenakan bayar yang munasabah dalam beberapa julat.
“Itu tidak akan mengizinkan sesiapa pun untuk mengenakan caj (sewenang-wenangnya) lebih kurang begitulah. Bukan kerana mereka caj sewenang-wenangnya tapi akan ada ukuran, matriks.
“Jadi ini tidak akan mengizinkan moral hazard (kegusaran) tapi lebih kepada ketelusan dalam (pelaksanaan) DRG itu sendiri, (penetapan) harga ubat-ubatan. Kita harap akan berlaku perubahan berkesan dan baik Insya-Allah,” katanya.-BH Online