Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KOTA BHARU: Mana-mana calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terjejas banjir boleh menduduki peperiksaan di mana-mana pusat peperiksaan.

Menterinya, Fadhlina Sidek, berkata perkara itu antara langkah yang diambil bagi memastikan kesemua calon SPM dapat menduduki peperiksaan berkenaan yang bermula Isnin ini.

“Kita akan memastikan semua calon SPM dapat menduduki peperiksaan berkenaan Isnin ini termasuk negeri yang dilanda banjir .

“Setakat ini, segala persiapan menjelang SPM berjalan lancar termasuk di Kelantan yang kini dilanda banjir.

“Bagi calon yang sekolah mereka mungkin terjejas banjir, mereka boleh menduduki peperiksaan itu di pusat peperiksaan alternatif supaya tiada calon yang tercicir,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melawat pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Tapang, di sini, hari ini.

KPM memaklumkan peperiksaan SPM 2024 akan bermula Isnin ini hingga 6 Februari depan.

Seramai 402,956 calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan SPM 2024 yang membabitkan 3,337 pusat peperiksaan di seluruh negara, dengan 126,636 petugas dilantik bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan.-BH Online