KUALA LUMPUR: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bersedia menjalinkan kerjasama strategik dengan Bank Simpanan Nasional (BSN) bagi membantu memperkasa ekonomi masyarakat desa.
Dalam masa yang sama, usaha itu memastikan masyarakat desa cakna terhadap pengurusan kewangan yang dapat menjamin kesejahteraan kehidupan mereka.
Mengutarakan cadangan berkenaan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata ia antaranya menyediakan Skim Pembiayaan Mikro Khas untuk usahawan kecil di kawasan desa di mana KKDW boleh membantu BSN untuk mengenal pasti kumpulan sasaran seperti wanita desa, belia, dan petani.
Beliau berkata, dengan itu membolehkan BSN menawarkan skim pembiayaan mikro khas untuk usahawan kecil di kawasan desa.
“BSN juga boleh melaksanakan program literasi kewangan di kawasan desa untuk meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai pengurusan kewangan peribadi, pentingnya simpanan dan pelaburan, dan kepentingan akses kepada perkhidmatan perbankan secara formal.
“(Selain itu) BSN boleh menyokong pendidikan di kawasan desa dengan menyediakan skim pinjaman pendidikan yang mudah untuk golongan muda di kawasan desa terutamanya yang ingin mengikuti pendidikan aliran TVET atau keusahawanan berkaitan halal.
“Ini akan meningkatkan modal insan dan seterusnya menyumbang kepada ekonomi tempatan,” katanya katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis sambutan ulang tahun ke-50 BSN di sini, hari ini.
Yang turut hadir Pengerusi BSN, Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin.
Ahmad Zahid berkata, KKDW juga boleh membantu BSN membuka lebih banyak cawangan atau ejen bank berdaftar di kawasan desa dan pedalaman.
“Ini akan memudahkan masyarakat desa membuat transaksi seperti pembayaran bil, simpanan, dan pengeluaran wang tanpa perlu ke bandar.
“Apa yang saya cadangkan ini adalah sebahagian daripada usaha-usaha yang boleh dilakukan bersama di antara KKDW dan BSN. Saya yakin dan percaya, melalui pendekatan yang menyeluruh, BSN boleh membantu KKDW mencapai matlamatnya untuk meningkatkan ekonomi masyarakat desa secara mampan dan inklusif,” katanya
Pada majlis makan malam itu Ahmad Zahid yang juga Menteri KKDW turut mengimbau kenangannya bersama BSN apabila pernah berkhidmat sebagai penolong pengurus di BSN dari tahun 1977 hingga 1979 dan sebagai Pengerusi BSN pada tahun 1994 hingga 1999.
Tegas beliau, BSN sentiasa memainkan peranan aktif dalam melaksanakan inisiatif kerajaan demi manfaat rakyat.
“Sepertimana kita semua sedia maklum, BSN mempunyai 387 cawangan, hampir 2,300 Ejen Bank, 10 Cawangan Bank Bergerak (CBB) dan lebih 900 mesin-mesin perbankan elektronik di seluruh negara, 46 peratus daripada cawangan-cawangan BSN dan lebih 70 peratus daripada ejen bank BSN terletak di kawasan perdesaan.
“Oleh kerana hampir 98 peratus mukim di seluruh negara memiliki akses kepada produk dan perkhidmatan perbankan, ia membuktikan usaha kerajaan melalui BSN telah berjaya menyediakan akses perbankan yang lebih luas dan mudah kepada rakyat, khususnya di kawasan perdesaan.
“Saya percaya, melalui komitmen dan prestasi baik ditunjukkan oleh BSN dalam menyokong agenda kerajaan, maka sebab itu Perdana Menteri menerusi Belanjawan 2025 memberikan sokongan berterusan dengan menyediakan peruntukan kepada BSN untuk menambah empat unit kenderaan bank bergerak. – “Tambahan itu akan memantapkan lagi pengoperasian BSN dalam memberikan kemudahan perbankan kepada rakyat, di mana sahaja mereka berada,” katanya.
Tambah Ahmad Zahid, BSN juga terus berusaha gigih untuk menyantuni komuniti yang kurang mendapat akses kewangan dan perbankan.
“Sehingga kini, lebih 66 peratus atau 290,000 pelanggan pembiayaan BSN terdiri daripada golongan B40 – dengan jumlah pembiayaan keseluruhan mencecah RM20.2 bilion.
“Daripada jumlah ini, RM8.4 bilion telah disalurkan untuk pembiayaan hartanah berharga kurang daripada RM300,000 untuk golongan B40 bagi pemilikan rumah mereka,” katanya.- BH Online