Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan menimbang cadangan memperkenalkan aliran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kepada peringkat umur lebih muda seperti dilaksanakan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Timbalan Perdana Menteri berkata, aliran TVET dalam sistem pendidikan negara ketika ini diperkenalkan pada usia 16 tahun berbanding UAE yang memasukkan aliran itu bagi pelajar berusia 11 tahun.

“Ia memerlukan komitmen kerajaan dan dua kementerian iaitu Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) serta ibu bapa apabila menjadikan TVET sebagai pilihan utama untuk anak-anak mereka.

“Saya akan perhalusi perkara berkenaan kerana tidak mahu ‘menggegarkan’ sistem pendidikan sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahmad Zahid kini berada di UAE bagi lawatan rasmi sejak kelmarin sehingga 19 November ini.

Terdahulu, Ahmad Zahid melawat Pusat Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Abu Dhabi (ACTVET) dan bertemu Ketua Pengarahnya, Dr Mubarak Saeed Al Shamsi bersama barisan kepimpinan tertinggi mereka.

Ahmad Zahid berkata, lawatan berkenaan membuka peluang ke arah memperkukuh kerjasama antara ACTVET dan Majlis TVET Negara (MTVET) ke arah mempertingkat sistem pendidikan vokasional di Malaysia.

“Di ACTVET, pengambilan pelajar bermula seawal usia 11 tahun, meningkat melalui tahap kemahiran dan mencapai piawaian yang diiktiraf di peringkat global seperti WorldSkills.

“Komitmen terhadap kecemerlangan ini mencerminkan aspirasi kita untuk MTVET di Malaysia,” katanya.

Dengan mengadaptasi amalan terbaik ACTVET, beliau berkata, Malaysia dan UAE berhasrat untuk membangunkan sistem TVET berkualiti tinggi yang bukan sahaja melengkapkan pelajar dengan kemahiran praktikal tetapi dapat membentuk keyakinan dan perasaan bangga kepada mereka yang mengikuti pendidikan itu.

“Malaysia berharap kerjasama dengan ACTVET dapat terus diperkukuh melalui program latihan bersama, pertandingan kemahiran dan pertukaran pengetahuan.

“Usaha ini sangat penting ke arah menjadikan sistem TVET Malaysia sebagai sumber kebanggaan negara, membentuk ketahanan dan daya saing global,” katanya.-BH Online