Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kuala Lumpur: Kelab bola sepak yang bernaung di bawah Liga Bolasepak Malaysia (MFL) masih boleh meneruskan program pemain naturalisasi mengikut langkah dan prosedur yang ditetapkan oleh kerajaan. 

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh bagaimanapun berkata, di peringkat kebangsaan, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menghentikan program pemain naturalisasi buat sementara waktu.

Selain itu katanya, bagi pemain warisan atau yang mempunyai pertalian darah keluarga dengan warganegara Malaysia, FAM sedang mencari bakat-bakat baharu yang akan dikenal pasti.

“Ia juga akan dinilai oleh ketua jurulatih serta barisan kejurulatihan kebangsaan sebelum diserapkan ke pasukan kebangsaan,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) mengenai hala tuju dan perancangan jangka pendek, sederhana dan panjang Kementerian Belia dan Sukan (KBS) terhadap perkembangan bola sepak tanah air dengan peruntukan RM15 juta kepada FAM, termasuk kriteria pemilihan skuad Harimau Malaya.

Mengulas lanjut, Yeoh berkata, pada 3 September lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan RM10 juta daripada kerajaan dan RM5 juta daripada pihak swasta kepada FAM, untuk memastikan persiapan pasukan kebangsaan dibuat dengan lebih berstruktur dan dapat meningkatkan prestasi pasukan.

“Peruntukan ini akan dipantau secara berkala oleh Kementerian Kewangan dan KBS,” katanya.

Menurutnya, FAM juga diminta untuk menyediakan indeks prestasi utama (KPI) dan pelan perancangan pasukan kebangsaan, termasuk skuad bawah 23 tahun kebangsaan.-Harian Metro Online