KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak berhasrat mewujudkan satu syarikat monopoli bagi pengurusan industri nadir bumi (REE) di negara ini, sepertimana Petronas dalam bidang minyak dan gas.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata sebaliknya kerajaan akan menggunakan Akta Pembangunan Mineral 1994 dan juga Perlembagaan Persekutuan sedia ada dalam aspek pengurusan REE.
“Walaupun ada dibangkitkan beberapa pihak Yang Berhormat (YB) nak buat (monopoli seperti) Petronas bagi REE, ia tidak timbul kerana kita mahu menggunakan Akta Pembangunan Mineral 1994 dan juga Perlembagaan Persekutuan sedia ada.
“Apa-apa kita akan melalui akta itu untuk tambah baik, tetapi kita tidak berhasrat untuk membuat satu syarikat monopoli dan sebagainya,” katanya semasa sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 peringkat dasar, di Dewan Rakyat, hari ini.
Pada masa sama, Nik Nazmi berkata, kerajaan sedang berbincang untuk menilai permintaan syarikat Lynus dari Australia supaya diberikan tempoh lesen yang panjang bagi pemprosesan REE tempatan.
Beliau berkata, Lynus bersedia membuka satu lagi jajaran untuk memproses REE di negara kita dengan syarat ia perlu mematuhi peraturan alam sekitar, keselamatan dan kesihatan yang ketat.
“Hendak membuat perkara itu memerlukan lebaran yang besar, kalau buka (lesen) dalam tempoh dua hingga tiga tahun itu tidak menarik kerana mereka (syarikat) hendak tahu ada masa depan.
“Di peringkat Lynus ada perbincangan untuk pemprosesan REE tempatan, sekarang kita proses REE dari Australia di mana jenisnya adalah berbeza sedikit dengan yang di Malaysia,” katanya.
Potensi besar Malaysia dalam REE
Dalam pada itul, Nik Nazmi menegaskan Malaysia mempunyai potensi besar untuk terbabit dalam industri REE di peringkat hiliran, sekali gus menjadi negara pengeluar super magnet di dunia, khususnya bagi menyokong perkembangan industri pembuatan kenderaan elektrik (EV).
Beliau berkata, hala tuju REE terkini yang melihat kepada keseluruhan rantaian nilai di peringkat huluan, pertengahan dan hiliran telah dibentangkan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara Keenam Tahun 2024 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.
Katanya, kajian cadangan model perniagaan untuk industri REE ini telah dilaksanakan oleh Akademi Sains Malaysia dengan melihat keseluruhan ekosistem itu.
“Malaysia memiliki potensi besar untuk terlibat dalam industri ini terutamanya di peringkat hiliran untuk menjadi negara pengeluar yang menyokong perkembangan industri pembuatan EV.
“Namun, ekosistem ini memerlukan adanya industri pertengahan tempatan bagi memproses sumber mentah REE dalam bentuk rare earth carbonate (REC) yang dikeluarkan dan dihasilkan oleh lombong-lombong tempatan,” katanya.-BH Online