Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KAHERAH: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata penambahan biasiswa kepada pelajar Malaysia yang cemerlang dalam bidang perubatan, kejuruteraan dan teknologi di Universiti Al-Azhar Al-Sharif antara tiga perkara yang dipersetujui Sheikh Al-Azhar, Prof Dr Ahmad Muhammad Ahmad At-Tayyeb pada pertemuan yang diadakan petang tadi. 

Perdana Menteri berkata, dalam perbincangan itu juga, Sheikh Al-Azhar turut bersetuju mewujudkan program Sains Islam (Ulum Islamiah) di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan kerjasama Institut Bahasa Arab Al-Azhar Al-Sharif dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang akan dimulakan pada pengajian semester akan datang.

Anwar berkata, persetujuan juga dicapai bagi menyahut pelawaan Sheikh Al-Azhar untuk menubuhkan Majlis Hukama’ al Muslimin pimpinan beliau di Kuala Lumpur dengan menamakan wakil Malaysia termasuk seorang wanita.

“Petang tadi, saya berjumpa Sheikh Al-Azhar di pejabatnya di Universiti Al-Azhar Al-Sharif bagi membincangkan pelbagai perkara khususnya membabitkan soal pendidikan yang mana saya zahirkan penghargaan atas usaha dan peranan universiti itu dalam membantu pelajar Malaysia.

“Saya juga nyatakan bahawa Malaysia dan Universiti Al-Azhar Al-Sharif perlu terus pertingkat kerjasama di rantau ASEAN terutama dalam bidang teknologi dan penyebaran ilmu. 

“Pada pertemuan itu, Universiti Al-Azhar Al-Sharif memaklumkan mereka bersetuju menawarkan biasiswa kepada pelajar Malaysia yang cemerlang dalam bidang perubatan kejuruteraan dan teknologi, selain kami menyentuh soal memorandum persefahaman (MoU) yang terkait kerjasama dengan USIM,” katanya.

Ketika berucap pada syarahan umum di hadapan lebih 1,500 kakitangan dan pelajar Universiti Al-Azhar Al-Sharif, Perdana Menteri mahu pelajar memperlengkapkan diri dengan ilmu keagamaan termasuk al-Quran, selain ilmu dalam bidang teknologi, supaya mereka dapat mengintegrasikan nilai Islam dengan kemajuan digital seperti kecerdasan buatan (AI). 

Beliau berkata, bagi mengukuhkan penghayatan Islam, kerajaan mewajibkan semua pelajar Islam membaca 40 hadis Imam Nawawi bersama terjemahan yang kali pertama dilakukan di negara ini. 

“Selain itu, kita juga akan mengembalikan semula bantuan sekolah agama rakyat di seluruh negara yang dibatalkan pada 2003 oleh kerajaan terdahulu,” katanya. 

Perdana Menteri berkata, pelajar dari maahad tahfiz juga disalurkan ke bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) selain menguasai bahasa Arab dan al-Quran, hingga ada di antara mereka berjaya menjadi juruterbang. 

Sementara itu, ketika meluangkan masa melawat Wisma Seri Mutiara iaitu bangunan asrama pelajar anak Pulau Pinang yang menuntut di Universiti Al-Azhar Al-Sharif, Perdana Menteri turut menasihatkan mereka menjaga nama negara dan menuntut ilmu dengan baik.

“Saya dapat menyantuni anak Pulau Pinang yang belajar di sini dan menitipkan pesan supaya mereka menjaga nama baik Malaysia serta belajar dengan tekun,” katanya.

Anwar turut menyaksikan penyerahan dana berjumlah RM780,000 oleh Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) kepada wakil Kedutaan Malaysia di Kaherah untuk proses penambahbaikan dan penyelenggaraan asrama lama Wisma Seri Pinang, yang terletak bersebelahan bangunan baharu.