Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KAHERAH: Malaysia dan Mesir bersetuju untuk berperanan lebih proaktif dan tegas dalam memastikan keganasan dihentikan, nyawa diselamatkan dan keadilan sejagat terus ditegakkan. 

Pendirian itu dicapai dalam pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi di Istana Al-Ittihadiya di Kaherah, hari ini.

Perdana Menteri melakukan kunjungan hormat ke atas Presiden El-Sisi kira-kira jam 11 pagi waktu tempatan (jam 5 petang waktu Malaysia).

Anwar berkata, beliau dan El-Sisi membincangkan situasi di Palestin yang mana Malaysia menyanjung usaha Mesir bersama Qatar dan Amerika Syarikat yang bertindak selaku perantara dalam menoktahkan penindasan oleh rejim zionis Israel.

Katanya, selain menyentuh situasi yang kian meruncing di Lubnan, yang berkemungkinan mengakibatkan konflik yang lebih meluas di Asia Barat, perbincangan turut menyentuh pelbagai perkara dalam usaha memperkukuh hubungan strategik kedua-dua negara.

“Pertemuan saya bersama Presiden El-Sisi menyentuh pelbagai perkara termasuk meningkatkan hubungan membabitkan kerjasama dalam bidang pelaburan dan perdagangan, minyak sawit, industri halal, pendidikan, pelancongan, kesihatan serta sumber asli dan tenaga boleh baharu.

“Selain itu kami juga turut menyentuh soal BRICS dengan Malaysia menghargai usaha Mesir dalam menyokong penyertaan negara sebagai rakan kerjasama, ” katanya selepas kunjungan hormat selama kira-kira dua jam itu, hari ini.

Perdana Menteri berkata, beliau dan El-Sisi berharap hubungan Malaysia dan Mesir perlu terus diperkuat demi manfaat rakyat kedua-dua negara selain hubungan diplomatik selama 65 tahun terus diperkukuhkan.-BH Online