Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof akan membentangkan cadangan kepada lembaga pemegang amanah Akaun Amanah Industri Bekalan Elektrik (AAIBE) untuk memperuntukkan sebahagian sumbangannya sebagai insentif kepada penggiat industri.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan mengenai perkara itu yang dibangkitkan Yeo Bee Yin (PH-Puchong) di Dewan Rakyat hari ini.

“Memang kalau ikut amanah yang diberikan kepada lembaga pemegang amanah tabung ini (AAIBE) salah satunya adalah berkaitan R&D (penyelidikan dan pembangunan). 

“Apa yang dicadangkan Puchong (Bee Yin) akan saya bawa untuk dibincangkan oleh lembaga amanah untuk melihat apakah bidang tumpuan dan apakah (apa) yang dicadangkan (oleh Bee Yin) tadi boleh dimasukkan sebagai satu sumbangan untuk kita kembangkan khususnya dalam sektor tenaga boleh baharu, termasuk penyimpanan tenaga dan sebagainya.

“Ini sebahagian yang saya akan bawa untuk dibincangkan (bersama lembaga pemegang amanah AAIBE) dan selepas dibincangkan, saya akan mempertimbangkan maklum balas mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Fadillah yang juga Timbalan Perdana Menteri memaklumkan tunggakan AAIBE dari tempoh 2018 hingga 2021 adalah berjumlah RM442 juta dan daripada jumlah itu RM374 juta telah dibayar, manakala RM68 juta lagi masih dalam proses pembayaran.

“Kesemua syarikat penjana elektrik telah memberikan kerjasama dan komitmen baik untuk menyelesaikan tunggakan mahupun sumbangan tahun semasa.

“Pihak kementerian juga sentiasa konsisten memantau perkara ini melalui Mesyuarat Jawatankuasa AAIBE dan bersedia mengadakan perbincangan lanjut dengan pihak syarikat penjana elektrik yang terlibat untuk membantu mereka melunaskan sumbangan,” katanya.

Fadillah berkata dana AAIBE terkini hingga 30 September lalu adalah berjumlah RM866,686,747.66 dengan RM606,931,000 daripadanya adalah pelaburan tetap, manakala RM147,872,976.21 diperuntukkan bagi projek komited sedia ada.

Beliau menjelaskan semua syarikat yang mendapat syarikat Pengeluar Tenaga Bebas (IPP) akan menyumbang satu peratus kepada dana AAIBE yang antaranya digunakan untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta program pembangunan modal insan.-BH Online