Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kota Tinggi: Dua sahabat yang terpedaya sindiket penipuan pekerjaan di Kemboja dengan tawaran gaji RM4,000 berjaya diselamatkan dengan bantuan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.

Mereka yang menetap di Felda Air Tawar 4 di sini, dipaksa menjadi ‘scammer’ yang bekerja selama 18 jam bermula jam 7 pagi hingga 1 pagi.

Lebih malang lagi, mereka yang mula bekerja pada April lalu tidak dibayar gaji dan kemudian ditahan pula pihak Imigresen Kemboja sejak September lalu selepas lokasi mereka bekerja di bandar Sihanoukville diserbu. 

Mangsa Nurazlin Zulkifli, 28, berkata, dia bertolak ke Kemboja pada 18 April lalu, manakala rakannya, Mohd Sofi Khairul Fadzilah, 33, datang seminggu kemudian.

“Saya sampai dulu, kemudian saya ajak Mohd Sofi. Bila sampai, saya bekerja sehari sahaja, selepas itu majikan maklumkan cuti seminggu kerana tidak ramai pekerja.

“Selepas Mohd Sofi sampai, keesokan harinya baharu kami mula bekerja dan baru tahu kami ditipu selepas dipaksa kerja sebagai ‘scammer’ yang menyasarkan mangsa di Malaysia. 

“Tempat tidur, makan, semuanya mereka bagi, malah tiket juga majikan yang belikan. Pada awalnya, kami dilayan dengan baik, namun lama-lama apabila tidak dibayar gaji, kami minta mahu balik ke Malaysia, namun mereka ugut suruh bayar RM30,000.

“Lokasi kami bekerja kemudian diserbu dan kami termasuk lapan lagi warga Malaysia dari Sarawak ditahan Imigresen,” katanya ketika sidang media bersama Azalina di Bandar Penawar di sini, hari ini.

Sementara itu, bapa Mohd Sofi, Khairul Fadzilah Awang, 53, menasihati anak-anak muda supaya tidak mudah terpengaruh dengan tawaran kerja luar negara seumpama itu walaupun ditawarkan gaji lumayan.

“Fikir dahulu sebelum buat keputusan paling penting dengar cakap ibu bapa. Jadikan anak saya dan kawannya itu sebagai contoh dan pengajaran. 

“Saya sebagai bapa juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Azalina dan pasukan kerana membantu saya dari mula hingga akhir untuk bawa kembali anak saya ke pangkuan keluarga dengan selamat,” katanya. 

Mengulas insiden itu, Azalina berkata, selepas dimaklumkan perkara itu beliau terus berhubung dengan Wisma Putra.

“Saya dimaklumkan, proses bawa balik mereka makan masa, memerlukan kos yang banyak dan susah sebab itu kita panggil duta Kemboja untuk bincang dan Alhamdulillah dalam seminggu selesai.

“Mereka bernasib baik dan kita tidak boleh anggap ini perkara main-main. Isu sekarang, walaupun sayang anak kena tegur mereka. Nasib mereka baik, jika tidak kita difahamkan mereka akan ditahan untuk tempoh enam bulan lagi,” katanya.-Harian Metro Online