Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah memulakan siasatan terhadap kes buli dan dera membabitkan seorang pegawai kadet di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) oleh seorang penuntut senior. 

Siasatan itu dilakukan selepas satu laporan polis dibuat oleh mangsa berusia 20 tahun sekitar pukul 8.23 malam tadi.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata pihaknya mengesahkan perkara itu dan siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan. 

“Berdasarkan laporan diterima, kejadian dikatakan berlaku pada 22 Oktober lalu pada pukul 11.45 malam di bilik asrama UPNM.

“Pada hari kejadian, pelajar senior yang juga pegawai kadet tahun empat itu telah meminta mangsa untuk menggosok baju kerja miliknya.

“Secara tiba-tiba, pelajar senior berusia 22 tahun itu telah mengambil saterika dipegang pengadu sebelum menekap di bahagian dada sebelah kanannya sebanyak satu kali,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Razarudin berkata, susulan itu, pengadu mengalami kecederaan melecur dan menyebabkan pengadu terkejut dan menjerit.

“Semasa kejadian terdapat beberapa orang senior di dalam bilik tersebut.

“Rakaman percakapan pengadu telah diambil di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras,” katanya.

Beliau berkata, pengadu juga telah diminta untuk membuat rawatan di hospital bagi mengesahkan jenis kecederaan yang dialami.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan kepada PDRM untuk menyiasat kes buli membabitkan seorang pegawai kadet di UPNM.

Katanya, budaya buli di universiti perlu dihentikan kerana ia menyebabkan penganiayaan kepada mangsa.

Kelmarin, Panglima Angkatan Tentera (ATM), Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman memaklumkan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit.-BH Online