Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Keputusan kerajaan menaikkan kadar gaji minimum kepada RM1,700 seperti diumumkan pada pembentangan Belanjawan 2025 menjadi tekad politik yang jelas oleh Kerajaan MADANI, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, pentadbirannya mengambil langkah berani dan bersungguh-sungguh kerana tidak sanggup melihat golongan pekerja dilayan dengan tidak adil dalam negara yang sedang menikmati pertumbuhan baik.

“Ini satu tindakan sungguh-sungguh (yang) kita buat dan berani (berkaitan) gaji minimum RM1,700. 

“Kalau saya tanya syarikat (mengenai gaji minimum), tidak akan ada keputusan, mustahil ada keputusan.

“Jadi saya bincang dengan kawan-kawan Jemaah Menteri, saya kata negara sedang membangun dengan baik, pelaburan besar masuk dan negara yang sedang membangun ini tidak boleh melihat layanan tidak adil terhadap pekerjanya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Residensi MADANI Putrajaya di sini, hari ini.

Kerajaan sebelum ini bersetuju menaikkan kadar gaji minimum kepada RM1,700 sebulan daripada RM1,500, berkuat kuasa 1 Februari tahun depan.

Perdana Menteri dilaporkan berkata, kerajaan juga memutuskan penangguhan kuat kuasa gaji minimum RM1,700 membabitkan majikan yang mempunyai kurang lima pekerja bagi tempoh enam bulan iaitu berkuat kuasa pada 1 Ogos 2025. 

null

Katanya, Kerajaan MADANI sentiasa menitikberatkan soal pendapatan rakyat dan penstrukturan ekonomi hanya dianggap berjaya apabila rakyat meraih gaji dan upah yang bermakna untuk menjalani hidup dengan lebih selesa.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, semua pihak diharap dapat memberi kerjasama dalam melaksanakan kadar gaji minimum baharu mulai tahun depan.

“Kita bukan naik RM2,500 atau RM3,000, kita naik dari RM1,500 ke RM1,700 dan berperingkat, syarikat kecil (kita) bagi masa.

“Saya harap berilah kerjasama, sama-sama kita hadapi kerana ini sahaja kita boleh lakukan. Tak semua orang akan senang dan bersetuju tetapi inilah cabaran pimpinan,” katanya. 

Dalam pada itu, Anwar berkata, ada segelintir pihak menegur bahawa Belanjawan 2025 tidak ada projek mega atau mercu tanda yang gah.

“Bagi saya projek mega adalah perumahan rakyat, warung, gerai, mutu kemudahan sekolah dan kesihatan yang baik,” katanya. 

Anwar turut menyelar tindakan beberapa Ahli Parlimen yang menyerang peribadi beliau dan bukan berkaitan dasar kerajaan ketika perbahasan Belanjawan 2025. 

“Saudara tahu di Parlimen itu, perbahasan jadi aneh, soal songkok Perdana Menteri senget ke tak senget, soal capal. Ini maknanya bila bankrap idea, dia tiada modal,” katanya.-BH Online