Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Dua jawatankuasa penentu sosial kesihatan Orang Asli akan ditubuhkan dalam masa terdekat bagi memastikan status kesihatan Orang Asli setara dengan populasi umum di negara ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya akan menubuhkan Jawatankuasa Pemandu Penentu Sosial Kesihatan Orang Asli dan Jawatankuasa Teknikal Penentu Sosial Kesihatan Orang Asli.

Katanya, penubuhan itu selaras dengan hasrat kerajaan untuk mencapai Liputan Kesihatan Sejagat (UHC) serta prinsip tiada siapa yang ketinggalan dalam aspek kesihatan.

“Jawatankuasa kerja ini akan merangka strategi dan intervensi bagi mengurangkan jurang penentu sosial kesihatan (SDH) Orang Asli melalui peningkatan status sosial, ekonomi dan pendidikan supaya tahap kesihatan mereka setara dengan masyarakat arus perdana,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Taklimat dan Pelancaran Dapatan Tinjauan Kesihatan Orang Asli (OAHS) 2022 oleh KKM di bangunan Parlimen yang turut dihadiri Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Noor.

Dr Dzulkefly berkata, kedua-dua jawatankuasa itu akan dianggotai ketua setiausaha dan ketua pengarah dari 18 kementerian dan agensi berkaitan manakala Ramli yang juga Ahli Parlimen Cameron Highlands mewakili masyarakat Orang Asli.

“Masalah kesihatan yang dikenal pasti dalam kalangan Orang Asli berpunca daripada pelbagai faktor seperti tahap sosioekonomi serta pendidikan dan kebanyakan faktor berkenaan di luar kawalan KKM.

“KKM juga akan membangunkan pelan strategik dikenali sebagai Agenda Orang Asli Sihat Sejahtera bagi menangani isu kesihatan golongan berkenaan berdasarkan dapatan OAHS 2022,” katanya.

Data OAHS dari Julai hingga September 2022 membabitkan 15,950 responden merangkumi kaum Senoi, Melayu Proto dan Negrito, mendapati majoriti Orang Asli tidak mengetahui mereka menghidap penyakit tidak berjangkit.

Selain itu, data berkenaan turut menunjukkan 45.8 peratus atau sembilan daripada 10 orang tidak mengetahui mereka menghidap penyakit disebabkan paras kolesterol tinggi.

Tinjauan meliputi semua skop soalan Tinjauan Kebangsaan dan Morbiditi (NHMS) yang membabitkan 68 kampung di lapan negeri itu.

Sementara itu, hasil tinjauan mendapati dua dari lima kanak-kanak Orang Asli yang berusia bawah lima tahun berdepan masalah bantut.

“Orang Asli suku kaum Negrito yang mendiami kawasan pinggir bandar mengalami kadar bantut sebanyak 61.5 peratus berbading Melayu Proto (39.4) dan Senoi (44.2) peratus.

“Di kawasan pedalaman, sebanyak 55.8 peratus kanak-kanak suku Negrito mengalami masalah bantut, diikut oleh suku Senoi (48.2) dan Melayu Proto (48.0),” katanya.

Tinjauan OASH 2022 juga mendedahkan tujuh daripada 10 Orang Asli tidak mengetahui mereka menghidap penyakit kencing manisi aitu 16.1 peratus dan tekanan darah tinggi dengan 31.5 peratus.

“Selain itu, sembilan daripada 10 Orang Asli tidak mengetahui mereka menghidap kolestrol tinggi sebanyak 45.8 peratus,” katanya.-BH Online