Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mahu Persekutuan Bina Badan Malaysia (MBBF) menambah baik kesedaran dan pendidikan terhadap penggunaan bahan terlarang membabitkan atlet di bawah badan induk itu.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata, menerusi kerjasama KBS dan Agensi Anti Doping Malaysia (ADAMAS) itu, lebih ramai atlet yang terbabit dalam sukan berkenaan akan menyedari mengenai risiko doping serta kesan negatif penggunaan bahan terlarang.

Hannah berkata demikian selepas pelancaran Kejohanan Badan Cantik Mr Enrich 2024, hari ini yang menyaksikan tertinggi dalam sejarah pertandingan bina badan negara iaitu 572 penyertaan daripada seluruh negara.

“Daripada 572 penyertaan di sini, lebih daripada 30 peratus adalah penyertaan pertama jadi sia-sia kalau kita tak bagi pendidikan mengenai doping kepada mereka menerusi ADAMAS.

“Saya gembira dengan kehadiran ADAMAS di sini untuk buat program kesedaran. Jadi dengan cara ini barulah kita dapat bergerak ke depan dalam usaha untuk membudayakan sukan selamat untuk semua,” katanya.

Sukan bina badan Malaysia ‘bergegar’ bulan lalu selepas ADAMAS memaklumkan seorang atlet yang bertanding di Kejohanan Bina Badan Peringkat Kebangsaan Ke-53 didapati positif bahan terlarang.-BH Online