Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Belanjawan 2025 meluluskan 14 inisiatif kewangan di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), termasuk RM200 juta untuk penyelenggaraan perumahan awam kos rendah.

Menteri, Nga Kor Ming, berkata ia juga merangkumi RM289 juta untuk pembinaan dan naik taraf pasar, RM100 juta bagi Taman Rekreasi MADANI dan hampir RM1 bilion bagi perumahan sosial dan mampu milik.

“Kami bermotivasi untuk berkhidmat dengan lebih baik dan akan terus memberi tumpuan untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat dan menggalakkan perbandaran mampan. Jelas bahawa Belanjawan 2025 adalah cukup hebat, progresif, inklusif dan mampan.

“Walaupun menghadapi cabaran terhadap kedudukan fiskal kewangan dan konflik serantau, belanjawan ini bergerak ke hadapan selari kerangka Ekonomi MADANI dengan mengurangkan defisit fiskal daripada enam peratus pada 2022 kepada 3.8 peratus tahun depan,” katanya.

Beliau berkata, Belanjawan 2025 juga melaksanakan reformasi diperlukan, termasuk subsidi bersasar RON95 untuk warga asing, yang akan memberi penjimatan kepada kerajaan sebanyak RM8 bilion untuk merancakkan pembangunan negara.

Selain itu, bagi menyediakan jaringan keselamatan sosial, RM15.9 bilion diperuntukkan untuk membantu miskin tegar, B40 dan M40, dengan keluarga berpendapatan terendah menerima bantuan kewangan RM13,000 setahun.

Kor Ming berkata, hal ini manifestasi bagaimana kerajaan MADANI mengambil berat terhadap rakyat dengan menyalurkan peruntukan kebajikan masyarakat paling tinggi dalam sejarah.-BH Online