Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju menaikkan kadar gaji minimum kepada RM1,700 sebulan daripada RM1,500 kini, berkuat kuasa 1 Februari tahun depan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata kerajaan juga memutuskan penangguhan kuat kuasa gaji minimum RM1,700 membabitkan majikan yang mempunyai kurang daripada lima pekerja bagi tempoh enam bulan iaitu berkuat kuasa pada 1 Ogos 2025.

“Kerajaan MADANI sentiasa menitikberatkan soal pendapatan rakyat. Penstrukturan ekonomi hanya dianggap berjaya apabila rakyat meraih gaji dan upah yang bermakna untuk menjalani hidup dengan lebih selesa. 

“Untuk itu, kerajaan bersetuju menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,500 sebulan kepada RM1,700 sebulan yang akan berkuat kuasa mulai 1 Februari 2025.

“Kementerian Sumber Manusia juga akan menerbitkan garis panduan gaji permulaan bagi semua sektor pekerjaan untuk rujukan pekerja. 

“Umpamanya, gaji permulaan Juruteknik Industri dan Pengeluaran (RM2,290 ), Jurutera Mekanikal (RM3,380) dan Profesional Pereka Kandungan Kreatif (RM2,985),” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2025, hari ini.

Perdana Menteri berkata, Dasar Gaji Progresif ialah ikhtiar Kerajaan MADANI untuk mereformasi pasaran buruh dengan matlamat meningkatkan pendapatan pekerja. 

Beliau berkata dasar itu sudah mula dilaksana secara rintis pada Jun lalu dan akan dikuatkuasakan sepenuhnya pada tahun hadapan. 

“Dasar Gaji Progresif diperuntukkan RM200 juta dan akan memanfaatkan 50,000 pekerja,” katanya.

Dalam pada itu Anwar berkata Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) merupakan ikhtiar menoktahkan kemiskinan tegar melalui peningkatan pendapatan rakyat. 

“Melalui ikhtiar IPR INSAN, Saudari Normaladiana Mohd Yazal yang merupakan OKU fizikal, telah membantu suaminya berniaga dan berjaya meraih pendapatan untuk keluarga hampir dua kali ganda.

“Tahun hadapan, RM250 juta disediakan untuk meningkatkan penyertaan lebih ramai rakyat miskin tegar mengikuti program IPR bagi menambah pendapatan mereka,” katanya.-BH Online