Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kerajaan sentiasa berusaha memastikan pembangunan seimbang dilaksanakan merentasi wilayah dan negeri, termasuk negeri yang ditadbir pembangkang, seiring konsep Malaysia MADANI. 

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, berkata ia penting bagi memastikan setiap lapisan masyarakat dapat menikmati pembangunan yang adil dan saksama serta kesejahteraan semua rakyat terjamin.

Katanya, komitmen kerajaan juga dizahirkan dalam Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), dengan matlamat “Malaysia MADANI: Mampan, Sejahtera dan Berpendapatan Tinggi.”

“Kerajaan juga sedang dalam penyediaan RMKe-13. Peranan negeri sangat penting dalam penyediaan rancangan ini kerana ia membabitkan pendekatan “top-down and bottom-up planning”.

“Kementerian Ekonomi melancarkan Jelajah Sesi Libat Urus (SLU): ‘MADANI Mendengar’ dengan yang pertama diadakan di Selangor pada 1 Oktober lalu dan akan diadakan di semua negeri dan Wilayah Persekutuan.

“Kerajaan mengambil pendekatan keseluruhan negara, membabitkan seluruh jentera dan agensi kerajaan, industri serta masyarakat untuk memberi peluang rakyat menyuarakan pandangan dan cadangan dalam usaha membentuk masa depan negara dalam melaksanakan pembaharuan ke arah Malaysia MADANI,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau menjawab soalan Tan Sri Abdul Hadi Awang (PN-Marang) mengenai sama ada kerajaan Persekutuan bersedia bekerjasama dan membantu negeri yang ditadbir pembangkang supaya jurang ketidakseimbangan pembangunan antara wilayah dapat diatasi selaras dengan konsep federalisme yang perlu dihormati semua pihak.

Rafizi berkata pada masa sama, fungsi agensi utama yang bertindih pada peringkat Persekutuan dan negeri akan dijajarkan bagi perancangan pembangunan dan penyelarasan yang lebih baik.

Pelaksanaan inisiatif itu katanya, akan menyumbang kepada kerjasama yang lebih kukuh antara agensi Persekutuan dan negeri.

“Kerajaan juga akan terus membangunkan dan menambah baik penyediaan infrastruktur asas yang menyeluruh, termasuk di negeri ditadbir pembangkang seperti Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu untuk mencapai keseimbangan wilayah dengan penyediaan Peruntukan Pembangunan (DE) yang adil dan saksama.

“Di bawah Rolling Plan 4 Tahun 2024, negeri berkenaan diluluskan peruntukan pembangunan asas sebanyak RM6.84 bilion bagi melaksanakan 1,485 projek pembangunan di bawah pelbagai kementerian,” katanya.

Rafizi berkata beberapa projek pembangunan utama yang sedang dilaksanakan di negeri ditadbir pembangkang termasuk Projek Membina Lebuhraya Kota Bharu Ke Kuala Krai, Kelantan (Pakej 2C & 3A: Kok Lanas ke Bukit Tiu); Rancangan Tebatan Banjir Sungai Kedah/Anak Bukit, Kedah; Kemudahan Infrastruktur Di Kawasan Pembangunan Lembah Chuping, Perlis di bawah Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) dan Pembangunan Kuala Terengganu City Centre (KTCC) – Fasa II di bawahWilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

“Kerajaan percaya segala perancangan dan pelaksanaan projek pembangunan itu akan menyumbang kepada pertumbuhan negeri berkenaan dan seterusnya memberikan pelbagai manfaat untuk kesejahteraan rakyat,” katanya.-BH Online