JOHOR BAHRU: Jumlah kenderaan asing berpendaftaran Singapura yang memasuki negara ini melalui Tambak Johor dan Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua) kembali pulih susulan penguatkuasaan Permit Masuk Kenderaan (VEP) yang dilakukan secara berfasa bermula 1 Oktober lalu.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata penurunan kemasukan kenderaan dari republik itu dikesan pada dua hari pertama VEP dikuatkuasakan.
Namun, katanya, selepas Malaysia memberikan jaminan tindakan saman masih belum dilaksanakan, kemasukan kenderaan dari republik itu hampir kembali normal pada hari ketiga dan seterusnya.
“Laporan harian yang diperoleh mendapati jumlah kenderaan Singapura yang masuk ke negara ini melalui laluan darat di Tambak Johor dan Linkedua kembali pulih dan normal sebaik jaminan tiada tindakan saman dikenakan dalam tempoh terdekat.
“Tindakan penguatkuasaan termasuk saman hanya akan dilakukan secara berfasa dengan notis peringatan dikeluarkan kepada pemilik dan pemandu kenderaan yang belum mendaftar.
“Kita berikan mereka tempoh lagi untuk memohon sebelum tindakan diambil yang akan diumumkan nanti,” katanya selepas merasmikan Konvensyen Biasa DAP Johor di Eko Flora, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong dan timbalannya, Teo Nie Ching.
Terdahulu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan 112,658 tag identifikasi frekuensi radio (RFID) VEP kepada kenderaan persendirian dan komersial bernombor pendaftaran Singapura setakat 30 September lalu.
Daripada jumlah itu, sejumlah 75,412 tag RFID sudah diaktifkan digunakan sejak pelaksanaan VEP di laluan darat Malaysia-Singapura, manakala 37,246 tag lagi masih belum diaktifkan.
Sebelum ini, Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MyBHA) Johor mendakwa menerima laporan jumlah pengunjung ke hotel mereka berkurangan, khususnya di sekitar Johor Bahru selepas penguatkuasaan VEP.
Dalam pada itu, Loke berkata, setakat ini pihak kementerian tidak menetapkan tempoh tertentu untuk melaksanakan penguatkuasaan penuh.
Katanya, pemilik kenderaan Singapura diminta supaya segera mendaftar, memasang dan mengaktifkan tag RFID VEP bagi mengelakkan sebarang kesulitan ketika memasuki dan keluar dari Malaysia.
“Kita menggesa pihak vendor untuk memperbanyakkan lokasi pendaftaran bagi memudahkan lagi permohonan dan mengelakkan kesesakan.
“Kita tak boleh sediakan lokasi pendaftaran di Singapura kerana pendaftaran ini bidang kuasa kita, melainkan ada kerjasama dengan syarikat di sana, itu biar vendor yang fikirkan,” katanya.-BH Online