Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Malaysia perlu menggandakan usaha mempromosi penuaan aktif, sejajar peralihan menuju status negara tua, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Beliau menekankan kepentingan persiapan menghadapi populasi semakin menua kerana Malaysia dijangka ada lebih lima juta penduduk berusia 60 tahun ke atas dalam beberapa tahun akan datang.

Malah, katanya, Malaysia dijangka mencapai status negara tua menjelang 2030 apabila 15 peratus penduduk akan berusia 60 tahun dan ke atas.

“Aktiviti fizikal amat penting untuk mengekalkan kesihatan, terutama apabila usia semakin meningkat.

“Seperti yang kita sedia maklum, aktiviti fizikal adalah komponen utama untuk kekal sihat dengan membantu membina serta menguatkan otot,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian yang dirakamkan sempena Simposium Antarabangsa Kedua Mengenai Penuaan Aktif (ISAA) 2024, baru-baru ini.

Yang turut hadir ialah Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Keselamatan dan Koreksional), Datuk Abdul Aziz Abdul Razak; Pengerusi ISAA 2024, Prof Muhammad Lee Chee Pheng; Mrs Malaysia World 2024, Dr Shalini Devi Ramachandran; serta atlet gusti lengan negara, Navinder Kaur.

Simposium ISAA selama dua hari bermula Jumaat lalu, kini menjadi acara tahunan dengan menghimpunkan penceramah dari lapan negara serta penyelidik dalam bidang geriatrik dan penuaan aktif.

Dalam pada itu, Azalina berkata, simposium berkenaan adalah platform berharga untuk berkongsi pengetahuan saintifik.

Beliau turut menyeru agar lebih banyak kajian dijalankan bagi menyokong populasi warga emas di Malaysia.

“Saya percaya simposium ini akan terus menyediakan maklumat dan pandangan penting, sekali gus membantu membudayakan penuaan aktif di Malaysia,” katanya.

Sebagai usaha advokasi dalam penuaan aktif, Azalina telah menubuhkan Pusat Penuaan Aktif yang pertama untuk individu berusia 60 tahun ke atas di kawasan Parlimen Pengerang, dikenali sebagai Rakan Aktif Parlimen Pengerang.

Pusat itu antara lain menyediakan program senaman untuk meningkatkan kesihatan jantung dan sistem muskuloskeletal. – BERNAMA