BAITULMAQDIS, 1 Oktober – Iran melancarkan beratus-ratus peluru berpandu balistik ke arah Israel sebagai tindak balas terhadap pembunuhan dan jenayah yang dilakukan oleh rejim zionis di Palestin dan Lubnan.
Ia termasuk pembunuhan Ketua Biro Hamas, Ismail Haniyeh; pemimpin Hizbullah, Hassan Nasrallah dan Komander Kor Pengawal Revolusi Iran, (IRGC), Abbas Nilforushan.
Menurut laporan IRGC, kira-kira 150 hingga 200 peluru berpandu telah dilancarkan. Ia menyasarkan kepentingan tentera dan keselamatan Israel di wilayah diduduki.
Pasukan tentera Iran itu juga menegaskan, operasi tersebut dilakukan mengikut hak Iran berasaskan undang-undang dan undang-undang antarabangsa.
IRGC memberi amaran agar Israel tidak bertindak balas, atau berdepan serangan lebih hebat.
Ia merupakan serangan kedua Iran terhadap Israel selepas serangan dron dan peluru berpandu dilancarkan pada April lepas sebagai tindak balas terhadap serangan rejim zionis ke atas konsulat Iran di Damsyik, Syria.
Agensi berita IRNA melaporkan, satu peluru berpandu turut dilepaskan ke atas Tel Aviv. -AFP