Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUCHING: Tiada keperluan mewujudkan draf perjanjian persefahaman (MoU) baharu berkaitan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang kerana dokumen sedia ada adalah asas kepada perbincangan kerajaan dengan Perikatan Nasional (PN).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, yang mengetuai perbincangan berkaitan persefahaman itu, berkata draf MoU sedia ada yang diserahkan kepada PN sebelum ini adalah asas kepada perbincangan kedua-dua pihak.

Justeru, katanya, jika PN masih mahu meneruskan perbincangan, mereka perlu memberi maklum balas secara rasmi berdasarkan draf MoU berkenaan, bukannya menerusi kenyataan kepada media.

“Mereka (PN) sudah membuat kenyataan (menerusi media) bahawa mereka menolak perbincangan dengan kerajaan, tetapi sehingga kini mereka tidak berhubung dengan kami (secara rasmi).

“Apabila mereka menolak, kerajaan menghormati keputusan itu dan kita terima tolakan mereka tetapi (jika mereka meminta) draf baharu, apa lagi yang hendak dibuat kerana draf sedia ada itulah asas untuk kami berbincang,” katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian Persidangan Pengurusan Keselamatan Sosial Antarabangsa sini, semalam.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan semalam yang meletakkan syarat perbincangan semula draf MoU berkaitan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang jika ditubuhkan jawatankuasa khusus dan kerajaan menghasilkan draf baharu.

Malah, Takiyuddin juga menegaskan PN tidak akan berhubung secara rasmi dengan kerajaan berhubung perkara itu.

PN tetap dengan pendirian semua yang terkandung di dalam draf MoU sedia ada tidak boleh diterima pembangkang melainkan perbincangan dibuat untuk mewujudkan draf baharu dengan perbincangan dilakukan oleh kedua-dua pihak.

Mengenai persidangan anjuran Pusat Kecemerlangan Pengurusan Keselamatan Sosial (SOSCOE) Universiti Utara Malaysia (UUM) itu, Fadillah berkata ia bertepatan cabaran dihadapi ketika ini.

Beliau berkata, menerusi program itu, banyak isu berkaitan perlindungan keselamatan sosial untuk rakyat dapat dibincang dan diputuskan.

“Perlindungan itu penting kerana malang tidak berbau dan kita boleh hilang punca pendapatan sekelip mata akibat kemalangan atau penyakit. 

“Perubahan teknologi dengan penggunaan kecerdasan buatan (AI) memberi keberkesanan dan pencapaian yang lebih cepat dan efisyen dalam sistem pentadbiran dan juga sistem pengagihan bantuan kepada mereka yang dilindungi PERKESO atau KWSP,” katanya.-BH Online