Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, membidas tindakan pemimpin Perikatan Nasional (PN) yang memilih pendekatan untuk ‘riuh’ di luar, membabitkan Memorandum Persefahaman (MoU) berkaitan peruntukan pembangkang.

Saifuddin Nasution yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata pihaknya kesal melihat tindakan PN yang lebih gemar membuat riuh di luar berbanding berunding hingga mencapai persetujuan seperti mana pelaksanaan MoU Transformasi dan Kestabilan Politik, dua tahun lalu.

Beliau turut membandingkan perbezaan perjalanan ketika MoU Transformasi dan Kestabilan Politik itu dibuat sebelum ini di bawah pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri ke-sembilan dengan memorandum berkaitan peruntukan pembangkang kini.

“Pertamanya pihak kerajaan kemukakan draf. PH bincang dalam Majlis Presiden PH, kemudian PH beri maklum balas. Pihak kerajaan meneliti maklum balas PH dan kami duduk berunding mencapai titik temu.

“Proses ini ada tertibnya. Perundingan berlangsung beberapa pusingan sehinggalah kedua-dua pihak bersetuju dengan isi MOU.

“Kami memeterai persetujuan itu di dalam satu majlis di Parlimen dihadiri Ismail Sabri dan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ketika itu sebagai ketua pembangkang.

“MOU kali ini? Baru terima draf sudah riuh di luar .. Betullah kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, kalau pilih nak bercakap dengan media tidak perlulah nak berunding!” katanya melalui hantaran di Facebook, hari ini.

Pada masa sama, Saifuddin turut mengimbau proses memuktamadkan MoU Transformasi dan Kestabilan Politik, yang mana beliau mewakili PH dalam rundingan berkenaan bersama pihak kerajaan.

Selain itu katanya, PH turut diwakili Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan, Gobind Singh Deo dan Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub yang ketika itu sebagai Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH).

Saifuddin berkata, wakil pihak kerajaan pula ialah Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar (bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang); Datuk Seri Hamzah Zainudin (bekas Menteri Dalam Negeri) dan Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan (bekas Menteri Tenaga dan Sumber Asli).

Semalam, PN menyifatkan draf MoU berkaitan peruntukan pembangkang dibuat oleh satu pihak iaitu kerajaan semata-mata tanpa ada sebarang perbincangan.

Takiyuddin dilaporkan berkata, draf MoU terbabit sepatutnya dibuat berdasarkan perbincangan di antara PN dan kerajaan, bukannya satu pihak semata-mata.

Sebelum ini, media melaporkan PN mengesahkan ketetapan sebulat suara menolak dua draf cadangan MoU daripada kerajaan berhubung peruntukan kepada Ahli Parlimen PN.

Hamzah dilaporkan berkata, keputusan menolak dua draf cadangan MoU yang membabitkan antara Kerajaan Malaysia dengan parti PN dan antara Kerajaan Malaysia dengan semua Ahli Parlimen PN itu dibuat atas empat sebab fundamental.

Sehari selepas penolakan PN itu, Datuk Seri Fadillah Yusof mendedahkan kandungan penuh draf MoU mengenai peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang yang ditolak Hamzah.-BH Online