Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR, 7 September – Malaysia dan Indonesia komited untuk terus memperkukuh hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

Perkara itu dibincangkan dalam pertemuan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan Presiden Terpilih Indonesia, Prabowo Subianto, pada pertemuan petang tadi.

Anwar menerusi hantaran di Facebook berkata, kedua-dua negara tekad untuk mengukuhkan kerjasama serantau ASEAN.

“Ketemu sahabat karib saya, Presiden Terpilih Indonesia Prabowo Subianto, petang tadi.

“Kami menyentuh beberapa perkara yang melibatkan kepentingan bersama, yang paling penting ialah tekad kami untuk meningkatkan hubungan serumpun dua hala antara dua negara bersahabat.

“Malaysia dan Indonesia akan terus bekerjasama erat dalam pelbagai aspek, termasuk dalam menjamin kestabilan dan perpaduan di rantau ASEAN,” kata Anwar.

Dalam pertemuan tersebut, Anwar turut menerima jemputan untuk menghadiri majlis pelantikan Presiden Indonesia yang dijadualkan pada 20 Oktober depan di Jakarta.

Pertemuan antara kedua-dua pemimpin ini menandakan kesinambungan hubungan strategik antara Malaysia dan Indonesia, yang dilihat penting dalam memastikan kestabilan politik dan ekonomi di rantau Asia Tenggara.

Prabowo ahli politik dan bekas jeneral tentera Indonesia yang kini merupakan Presiden Terpilih Indonesia.

Beliau akan menggantikan Presiden Joko Widodo, yang telah berkhidmat selama dua penggal, pada Oktober ini.

Prabowo sebelum ini telah bertanding dalam pilihan raya presiden beberapa kali, dan pada akhirnya berjaya memenangi pilihan raya 2024.-Berita RTM