Putrajaya: Program Malam Cinta Rasul diadakan di Dataran Putra di sini pada 15 September ini sebagai usaha mengimarahkan program penghayatan serta kecintaan kepada Nabi Muhammad SAW.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata program yang dianjurkan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu diadakan sempena Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan Tahun 1446H/2024.
“Program berkenaan akan bermula dengan solat Maghrib dan Isyak secara berjemaah dan kemudian disusuli dengan pengisian program Malam Cinta Rasul,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata program itu akan membawakan empat orang penceramah iaitu Mufti Selangor Datuk Anhar Opir; Mufti Pulau Pinang Prof Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman; Timbalan Mufti Sabah Datuk Abdul Manap Lakariba serta Habib Ali Zainal Abidin.
“Orang ramai dijemput hadir memeriahkan serta mengimarahkan majlis itu.
“Semoga dengan penganjuran ini dapat menyematkan kecintaan kita kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW,” katanya.-Harian Metro Online