Sorting by

×
Screenshot
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Malaysia dan Thailand sepakat memperkukuh kerjasama pertahanan dalam usaha mendepani cabaran keselamatan serantau, selain terus mempromosikan keamanan dan kestabilan di Asia Tenggara.

Komitmen itu dizahirkan menerusi pertemuan antara Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan rakan sejawatnya dari Thailand, Leftenan Jeneral Adul Boonthumjaroen, sempena lawatan rasmi pertama Menteri Pertahanan Thailand itu ke Malaysia, semalam dan hari ini.

Menurut Khaled, antara agenda utama yang dibincangkan dalam pertemuan itu adalah butiran mengenai perancangan perjanjian persefahaman (MOU) yang bakal dimeterai dalam kerjasama pertahanan. 

MOU berkenaan adalah merangkumi soal keselamatan merangkumi kawalan keselamatan sempadan kedua-dua negara serta kerjasama untuk membangunkan industri pertahanan tempatan.

“Kerjasama kawalan keselamatan di sempadan antara kedua-dua negara sudah bermula sejak tahun 1978 dan dilaksanakan dengan baik demi kepentingan bersama supaya memastikan kawasan itu sentiasa selamat dari sebarang elemen penyeludupan, kegiatan yang boleh memudaratkan kedua-dua negara selain aktiviti pencerobohan haram. 

“Untuk tahun ini, Malaysia akan menjadi tuan rumah bagi mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Bersama (GBC) Malaysia-Thailand, ke-57 dan perkara-perkara yang akan dibincangkan adalah mengenai jalinan kerjasama dalam operasi membabitkan kedua-dua negara secara bersama.

“Turut dibincangkan ialah perancangan dalam menjayakan pembangunan sosio-ekonomi di kawasan sempadan serta soal menyelaras pengurusan bencana di kawasan-kawasan sempadan,” katanya selepas menerima kunjungan hormat Adul Boonthumjaroen di Wisma Pertahanan, di sini, hari ini. 

Pada pertemuan itu, Mohamed Khaled turut mengambil kesempatan mengucapkan tahniah atas pelantikan Adul Boonthumjaroen sebagai Menteri Pertahanan Thailand, serta menyatakan keyakinan terhadap kejayaan berterusan negara itu di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Anutin Charnvirakul.

Diplomasi pertahanan

Khaled berkata, dalam pertemuan itu juga, kementeriannya dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang mengalu-alukan penyertaan Thailand dalam kursus dan Program Malaysian Defence Cooperation (MDCP). 

“MDCP ini adalah satu program yang kita usahakan bagi meningkatkan lagi pelaksanaan dan pendekatan kita dalam mengurus pertahanan iaitu apa yang kita panggil sebagai diplomasi pertahanan. 

“Justeru, dalam menjayakan diplomasi pertahanan, kita mengalu-alukan penyertaan pegawai-pegawai tentera daripada Thailand menyertainya, sekali gus berpeluang untuk meningkatkan profesionalisme ketenteraannya selain membina jaringan kerjasama antara pegawai-pegawai tentera Malaysia dengan semua pegawai-pegawai tentera daripada negara-negara sahabat yang lain termasuklah Thailand,” katanya. 

Beliau juga turut menyatakan sokongan terhadap usaha menstabilkan wilayah Selatan Thailand, termasuk mengalu-alukan pelantikan Thanud Suvernananda, sebagai Ketua Dialog Damai Selatan Thailand, bagi baharu mewakili kerajaam Thailand, awal tahun ini. 

Dalam perkembangan sama, Thailand turut menyatakan sokongan terhadap usaha Malaysia membantu meredakan konflik sempadan antara Thailand dan Kemboja, selain mengiktiraf peranan proaktif negara ini dalam memudah cara dialog serta memupuk kestabilan serantau. 

Sempena lawatan itu, Adul Boonthumjaroen turut mengadakan lawatan ke National Aerospace and Defence Industries (NADI) Group of Companies. 

Lawatan ke fasiliti syarikat berkenaan memberi peluang kepada kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai bidang kerjasama yang berpotensi serta meneroka peluang kerjasama baharu dalam sektor industri pertahanan pada masa depan. -BH Online