Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Malaysia menyatakan hasrat untuk menganggotai Lembaga Eksekutif Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) bagi penggal 2025 hingga 2029. 

Perkara itu dizahirkan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, ketika mengadakan pertemuan dengan Timbalan Ketua Pengarah UNESCO, Xing Qu, di Paris semalam.

Mengulas lanjut hasrat itu, beliau berkata ia selaras dengan pengalaman, komitmen, imej dan reputasi baik Malaysia selaku negara anggota yang memainkan peranan aktif dalam menerajui program dilaksanakan di peringkat serantau dan global. 

“Xing Qu menzahirkan penghargaan kepada Malaysia atas komitmen berterusan negara untuk memperkukuhkan agenda UNESCO,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Minggu Pembelajaran Digital: Malaysia nyata komitmen perkasa AI

Mengenai perbincangan antara kedua-dua pihak, Fadhlina berkata ia berkait agenda pendidikan untuk semua, pemerkasaan bidang Sains dan Teknologi serta etika dalam teknologi kecerdasan buatan (AI). 

Beliau yang mengetuai delegasi Malaysia untuk menghadiri Minggu Pembelajaran Digital 2024 turut mengambil bahagian dalam sesi perbincangan meja bulat bersama-sama dengan pemimpin pendidikan antarabangsa yang lain pada Isnin lalu. 

Selain itu, beliau menyatakan komitmen Malaysia untuk memperkasakan teknologi AI menerusi Pelan Hala Tuju Kecerdasan Buatan Negara 2021-2025 serta pelaksanaan Dasar Pendidikan Digital (DPD).

“Potensi teknologi AI perlu terus diterokai untuk menyokong matlamat pendidikan dan tanpa meminggirkan nilai-nilai kemanusiaan. 

“Fadhlina turut berkongsi pengalaman dengan peserta mengenai inisiatif Malaysia yang sedang giat melaksanakan Reformasi Pendidikan, Kurikulum Persekolahan 2027 serta gerak kerja bagi pelan pembangunan pendidikan yang baharu,” katanya.-BH Online