Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Malaysia tidak boleh mengikut acuan negara lain dalam meletakkan keutamaan menangani ancaman keselamatan dan ketenteraman awam.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata setiap negara walaupun negara berjiran mempunyai keutamaan yang berbeza dalam mentakrif ancaman keselamatan negara masing-masing.

Katanya, Malaysia juga perlu melakukan perkara sama supaya seluruh kekuatan dan sumber dapat difokuskan dalam mengukur pencapaian seterusnya melaksanakan dasar baharu bagi menjaga ketenteraman awam.

“Dalam pertemuan dengan Setiausaha Negara Amerika Syarikat, beberapa bulan lalu, mereka menyatakan keganasan dan kewangan berkaitan keganasan menjadi keutamaan mereka. Rakan sejawat di China pula mengatakan, keutamaan mereka adalah berkaitan penipuan kewangan.

“Bila saya berjumpa pegawai dari Asia Barat, keutamaan mereka berkaitan keganasan dan kewangan berkaitan keganasan manakala rakan sejawat Singapura pula mengatakan, penipuan (scam), jenayah penipuan siber, penyeludupan dadah dan keganasan,” katanya pada sesi penutup PersidanganKeselamatan Dalam Negara 2024bertemakan ‘Keselamatan Bukan Untuk Dikompromi’, di sini hari ini.

Persidangan Keselamatan Dalam Negara 2024, hari ini bersetuju meletakkan jenayah penyeludupan serta penyalahgunaan dadah masih memberi implikasi utama dalam kestabilan politik, ekonomi dan sosial negara.

Susulan itu, persidangan membangkitkan 11 strategi utama yang perlu dilakukan negara dalam usaha mengekang jenayah itu.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, biarpun jenayah penyeludupan serta penyalahgunaan dadah dipilih sebagai penemuan akhir dalam persidangan itu, KDN tetap mengutamakan isu integriti dan jenayah rasuah yang berlegar dalam kalangan pegawai dan anggota agensinya.

“Kita berikan kebebasan kepada 800 peserta untuk berbincang mengikut sudut pandang mereka masing-masing.

“Jadi, apakah ia (jenayah rasuah) dibincang dalam persidangan ini. Jawapannya ya dan ia dalam perkara berkait integriti,” katanya.

Beliau menjelaskan, penyalahgunaan dadah diangkat sebagai satu resolusi kerana ia berpandukan kepada empat kluster yang dibincangkan dalam persidangan itu.

Katanya, dalam setiap kluster, terdapat isu yang diangkat mengikut urutan keutamaan jenayah bagi sudut pandang peserta dan ia tidak bermaksud bahawa isu integriti berada tidak diutamakan.

Sementara itu, Saifudin berkata, Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih berkemampuan untuk menangani beberapa elemen ekstremis yang masih wujud di dalam negara.

“Apa pun keadaannya, yang paling penting ialah saya memberi jaminan bahawa pasukan polis berkemampuan untuk mengawalnya,” katanya.-BH Online