IPOH: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan menyiasat aduan berhubung tindakan pihak yang didakwa mengambil kesempatan terhadap kanak-kanak.
Ia susulan dakwaan ada kanak-kanak dikatakan ditempatkan di rumah amal atau rumah anak yatim untuk bekerja di bawah syarikat tertentu.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, berkata tindakan undang-undang sewajarnya akan diambil jika pihak terbabit didapati bersalah.
“Kita belum menerima apa-apa aduan tetapi kalau ada yang mengadu, kita akan ambil tindakan sewajarnya mengikut undang-undang bersesuaian di bawah kementerian.
“Kita akan melihat satu kes ke satu kes, tidak kira kes berkaitan apa pun,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak: KASIH Kanak-Kanak 2024 peringkat Perak di sini, hari ini.
Noraini diminta mengulas kes tular di media sosial baru-baru ini berkenaan gerakan sebuah syarikat dalam negara yang didakwa menggunakan rumah kebajikan anak yatim untuk menempatkan anak ahli mereka.-BH Online