Sorting by

×
Screenshot
Hantar Berita Ini:

SUBANG: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dijangka menerima tiga lagi helikopter jenis AW189 menerusi pemerolehan empat aset udara bernilai RM529 juta Disember ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata ini menjadikan keseluruhan aset udara Maritim Malaysia meningkat kepada sembilan unit.

Pertambahan itu, katanya penting bagi membantu Maritim Malaysia mengawasi Zon Maritim Malaysia seluas 556,285 kilometer persegi yang berdepan pelbagai ancaman termasuk pencerobohan nelayan dan kapal asing serta penyeludupan senjata, dadah dan barangan terlarang.

“Hari ini kita terima satu daripada empat helikopter AW189 dengan bakinya dijadualkan tiba akhir Disember ini. Kita bersyukur projek ini menepati masa ditetapkan.

“AW189 mempunyai keupayaan lebih baik berbanding aset udara sedia ada, terutama dari segi tempoh penerbangan, kelajuan dan kapasiti muatan.

“Helikopter ini dikendalikan lima kru dan mampu membawa sehingga 14 penumpang selain digunakan untuk fungsi pengawasan udara, operasi mencari dan menyelamat serta operasi khas,” katanya di sini hari ini.

Beliau diiringi Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Datuk Rosli Adbullah, berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penerimaan Helikopter AW189 di Stesen Udara Maritim Subang di sini.

Menurut Saifuddin, 116,192 pemeriksaan, 26,253 penggeledahan dan 562 tangkapan dijalankan Maritim Malaysia sehingga 24 Julai lalu, membabitkan nilai rampasan melebihi RM4.38 bilion.

Pencapaian itu, katanya membuktikan skala tanggungjawab Maritim Malaysia dalam memastikan perairan negara kekal selamat serta memelihara kedaulatan perairan negara.

Beliau berkata, Maritim Malaysia turut melaksanakan 129 operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) membabitkan 638 mangsa dalam tempoh sama.

“Pencapaian ini mencerminkan skala atau magnitud tanggungjawab dan komitmen Maritim Malaysia memastikan perairan negara kekal selamat, kedaulatan terpelihara, dan nyawa di laut dapat diselamatkan.

“Statistik ini menunjukkan kepentingan keupayaan pengawasan serta tindak balas pantas Maritim Malaysia menangani pelbagai ancaman dan kecemasan di perairan negara,” katanya. -BH Online