Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Kementerian Pengangkutan akan mendapatkan maklum balas daripada Kemeterian Kewangan (MoF) berhubung aduan pemain industri berkait ketidakpastian mengenai cukai terhadap kargo minyak yang dicampur dalam tangki darat di Pelabuhan Tanjung Langsat, Johor.

Menterinya, Anthony Loke, berkata pihaknya tidak mempunyai maklumat mekanisme penetapan cukai itu seperti dilaporkan media, semalam.

“Perkara ini di bawah Kastam dan MoF.

“Kita akan mendapatkan maklumat lanjut daripada MoF,” katanya pada Majlis

Perhimpunan Bulanan dan Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan Kementerian Pengangkutan, di sini, hari ini.

Semalam, media melaporkan aduan pemain industri yang mendakwa ketidakpastian berhubung perkara terbabit telah menjejaskan perniagaan perkapalan dan petroleum di pelabuhan berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Maritime Network Sdn Bhd , Datuk Seri Jeyenderan Ramasamy menggesa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menjelaskan sama ada amalan itu dibenarkan dan bagaimana cukai perlu dikenakan.

Beliau berkata, perkara itu penting kerana Pelabuhan Tanjung Langsat mengendalikan kargo petroleum yang dipunggah dari kapal ke tangki darat ketika operasi pemindahan kapal atau transhipment’.

Sebelum ini, timbul kebimbangan mengenai dakwaan minyak daripada konsainan berbeza dicampur dalam tangki darat selepas dipunggah dari kapal.

Tindakan itu didakwa boleh mengubah keadaan kargo dan menimbulkan masalah dalam klasifikasi, penilaian serta cukai jika dokumen tidak dikemas kini dengan betul. -BH Online