PUTRAJAYA: Kerajaan sedang memperhalusi cadangan pindaan menyeluruh terhadap Akta Tabung Haji 1995, termasuk aspek tadbir urus dan had kuasa menteri serta pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, pindaan itu bagi memastikan kerangka perundangan TH dapat diperkemaskan dan memberi manfaat terbaik untuk masa depan institusi berkenaan.
Beliau berkata, pada masa ini, akta berkenaan sudah mencakupi aspek tadbir urus bagi memastikan pengurusan TH dapat dilaksanakan dengan sebaiknya, namun penambahbaikan masih perlu diteliti.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2025 dan Jasa Mu Dikenang Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), di sini hari ini.
Pada majlis itu, YADIM memberi pengiktirafan kepada 20 warga kerjanya yang menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2025, manakala empat lagi menerima Anugerah Jasamu Dikenang.
Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) TH sebelum ini antara lain membangkitkan mengenai keperluan penambahbaikan kepada akta berkenaan bagi memantapkan tadbir urus institusi umat Islam itu.
Zulkifli berkata pindaan kepada akta berkenaan akan dibentangkan di Parlimen selepas mendapat persetujuan Kabinet.
Katanya, TH bersama pihak berkepentingan berkaitan masih meneruskan usaha memperkemaskan akta berkenaan supaya ia dapat menyediakan kerangka terbaik bagi masa depan institusi itu. -BH Online

