KUALA LUMPUR: Projek digital dalam sektor kesihatan tidak lagi boleh bergerak secara berasingan apabila Malaysia menyusun usaha berkenaan menerusi Inisiatif Berorientasikan Misi (MOI) Kebangsaan bagi Pemerkasaan Penjagaan Kesihatan Digital.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Chang Lih Kang, berkata inisiatif diterajui Akademi Sains Malaysia (ASM) itu selari dengan usaha menjadikan Malaysia negara dipacu kecerdasan buatan (AI) di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Katanya, MOI akan melangkaui pelaksanaan projek digital secara berasingan dengan memberi tumpuan kepada hasil yang boleh diukur termasuk pengesanan penyakit lebih awal, kesinambungan penjagaan lebih baik, akses kesihatan lebih saksama dan sistem kesihatan lebih berdaya tahan.
“MOI ini akan melangkaui pelaksanaan projek digital secara berasingan dengan menggembleng kerajaan, penyedia perkhidmatan kesihatan, penyelidik, industri dan komuniti bagi mencapai hasil nasional yang boleh diukur.
“Antaranya termasuk meningkatkan kesinambungan penjagaan, mengesan penyakit lebih awal, menyediakan akses lebih saksama dan membangunkan sistem kesihatan yang lebih berdaya tahan,” katanya berucap pada Forum Memorial Tahunan Dr Ranjeet Bhagwan Singh (RBS) 2026 dan Pengumuman Geran Penyelidikan Perubatan RBS, di sini, hari ini.
Lih Kang berkata, penggunaan AI dalam sektor kesihatan turut membuka ruang kepada diagnosis lebih tepat dan rawatan disesuaikan mengikut keperluan individu.
Katanya, AI membolehkan risiko kesihatan diramal lebih awal, selain meningkatkan ketepatan diagnosis dan menyokong penggunaan perubatan ketepatan.
“Perkembangan teknologi ini turut membolehkan data kesihatan digunakan bagi menyediakan penjagaan lebih bersesuaian dengan profil setiap individu.
“Di seluruh dunia, AI sedang mengubah cara sistem penjagaan kesihatan mengesan penyakit lebih awal, menyokong keputusan klinikal, meningkatkan akses dan menggunakan data untuk menyediakan penjagaan lebih diperibadikan.
“AI membolehkan kita membuat ramalan risiko kesihatan, diagnosis lebih tepat, perubatan ketepatan dan rawatan berdasarkan profil kesihatan unik seseorang,” katanya.
Sementara itu, Lih Kang berkata, projek MyGenome menjadi antara inisiatif penting negara dalam bidang perubatan ketepatan yang diterajui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan kerjasama Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Katanya, projek itu bertujuan memetakan profil genetik rakyat Malaysia bagi membantu menghasilkan penyelesaian penjagaan kesihatan yang lebih sesuai mengikut keperluan individu.
“Bagaimanapun, kejayaan penggunaan AI dalam sektor kesihatan tidak bergantung kepada teknologi semata-mata.
“Kita perlu membangunkan penyelesaian tempatan yang boleh dipercayai, memperkukuh usaha membawa hasil penyelidikan kepada kegunaan sebenar, membangunkan bakat yang sesuai dan memastikan teknologi ini digunakan secara bertanggungjawab,” katanya. -BH Online
