Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

REMBAU: Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan melahirkan rasa terkilan dengan kenyataan Duta Besar Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia, Edgard D Kagan, yang seolah-olah memperkecilkan cita rasa dunia dalam isu kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin di Gaza.

Mohamad berkata, kebanyakan negara di dunia termasuk Malaysia konsisten dalam usaha menghadapi isu Palestin.

“Saya kesal dengan apa yang diperkatakannya, bagaimanapun saya hormat pandangan beliau, pandangan bagi pihak negara beliau, tapi jangan sampai ia memperkecilkan pandangan atau pun cita rasa dunia dengan menidakkan pembunuhan terhadap rakyat Palestin

“Kenyataan itu seolah-olah kes membabitkan pembunuhan 45,000 orang dan lebih 100,000 rakyat Palestin yang cedera, satu perkara yang biasa-biasa.

“Saya rasa pandangan beliau itu sedikit di luar batasan kemanusiaan, walaupun kita nak menyokong rakan sekutu Israel, tapi janganlah sampai menyifatkan itu (pembunuhan rakyat Palestin) perkara biasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengunjungi keluarga veteran UMNO, Abd Rahman Salam, 88, dalam Program Ziarah Kasih Parlimen Rembau Peringkat DUN Kota di Kampung Nerasau Kota, di sini, hari ini.

Beliau mengulas laporan sebuah portal mengenai kenyataan Kagan yang dikatakan mempersoalkan “kesan praktikal” gerakan boikot khususnya yang dilakukan oleh rakyat Malaysia.

Kagan dilaporkan berkata, boikot seumpama itu akhirnya hanya akan merugikan pekerja Malaysia yang diambil bekerja oleh syarikat yang disasarkan.

Mohamad berharap, duta-duta asing yang berada di negara ini supaya berhati-hati dalam bercakap atau mengeluarkan sebarang kenyataan, walaupun bercakap atas asas negara mereka.

“Tapi mereka berada di negara yang mereka tahu bahawa sentimen kerajaan dan rakyat Malaysia adalah amat kuat terhadap kekejaman Zionis dan juga pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin,” katanya.-BH Online