Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PORT DICKSON: Peniaga diingatkan jangan mensabotaj usaha kerajaan meringankan beban kos sara hidup rakyat, dengan mengambil kesempatan menaikkan harga barang dan perkhidmatan mereka.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, menegaskan perkara itu susulan pelarasan gaji penjawat awam yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam.null

“Kita tidak mahu peniaga mengambil kesempatan melakukan pencatutan, kerana kenaikan gaji penjawat awam tiada kaitan langsung dengan kos operasi dan kos perniagaan mereka,” katanya kepada pemberita, di sini.

Namun, Armizan berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) tidak menolak kemungkinan perkara itu akan berlaku, justeru sudah membuat persiapan awal untuk menanganinya.

Walaupun Skim Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) hanya akan berkuat kuasa mulai 1 Disember depan, beliau berkata, dikhuatiri ada pihak tertentu melakukan aktiviti pencatutan dari awal supaya ia tidak begitu ketara.

“Oleh itu, penguatkuasaan perlu dilaksanakan segera. Jika berlaku sebarang aktiviti pencatutan, kita akan bertindak tegas. Kita akan dapatkan apa alasan dan justifikasi pihak terbabit,” katanya.

Armizan menekankan, KPDN memerlukan kerjasama semua pihak termasuk orang awam, bagi mengekang perkara kegiatan itu.-BH Online