Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Pekerja dalam semua sektor di negara ini perlu terus melengkapkan diri dengan inovasi dan kreativiti sekali gus menjadi tenaga kerja mahir, kata Datuk Seri Fadillah Yusof.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kumpulan itu juga wajar memberikan perhatian kepada aspek penyelidikan dan pembangunan (R&D) supaya kadar pertumbuhan dan ekonomi negara mampu dipertingkatkan.

Beliau berkata, ia juga bertujuan memastikan Malaysia kekal berdaya saing, sekali gus mengembalikan kecemerlangan negara seperti jolokan ‘Tiger of Asia’ suatu ketika dahulu.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air turut menyarankan tenaga kerja di sektor 3D (kotor, bahaya serta sukar) untuk memperkasakan semua elemen, terutama bagi menarik minat lebih ramai menyertai profesyen dalam bidang berkenaan.

“Tumpuan kita bukan sekadar bekerja, sebaliknya perlu meningkatkan inovasi dan kreativiti. Maknanya, apabila kita mahir dan bidang tertentu seperti (dalam bidang) kumbahan yang bertanggungjawab memastikan kebersihan negara dipertingkatkan.

“Ketika bekerja, mereka perlu sentiasa berfikir mengenai kemahiran secara kritis dan kreatif mengenai permasalahan dihadapi dalam bidang kerjaya masing-masing walaupun sudah terbiasa melakukan perkara yang dilatih.

“Kita perlu fikir bagaimana untuk mempermudah serta memperincikan kerja menerusi kreativiti untuk mencari penyelesaian, sama ada melalui sistem, peralatan atau bahan yang perlu dilaksanakan,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Konvokesyen Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi IWK merangkap Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi; Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Mohd Rodzwan Mohd Baba Sakri serta Ketua Pegawai Eksekutif IWK, M Narendran.

Timbalan Perdana Menteri berkata, mereka juga perlu sentiasa meningkatkan mutu kerja dan tidak mudah berpuas hati atau selesa dengan pencapaian yang sudah diterima, sama ada di peringkat domestik mahupun global.

Beliau berkata, tenaga kerja juga wajar sentiasa meningkatkan ilmu dan kemahiran mengurus diri, keluarga, masyarakat atau organisasi, terutama dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagai pekerja, sama ada di peringkat pengurusan, sokongan mahupun bidang kepakaran. 

“Ini bukan hanya memerlukan ilmu pengetahuan tetapi kemahiran tertentu untuk melaksanakan tugas dan amanah. Bayangkan dari sudut kepakaran, kalau kita tidak meningkatkan kemahiran, kesilapan kita boleh menjejaskan keselamatan.

“Malah, ia juga boleh menyebabkan berlakunya perkara atau musibah yang boleh memberi kemudaratan kepada kemaslahatan masyarakat keseluruhan yang akan menjejaskan imej negara,” kata Ahli Parlimen Petra Jaya itu.-BH Online