Kuala Lumpur: Atlet terjun negara, Nur Dhabitah Sabri tidak berdepan masalah untuk mara ke separuh akhir selepas menduduki tempat ke-12 daripada 28 peserta tiga meter papan anjal individu wanita Sukan Olimpik Paris.
Dia yang pernah beraksi di Rio 2016 dan Tokyo 2020, berjaya mengumpul 283.65 mata selepas melakukan lima terjunan dan akan merebut kedudukan 10 terbaik daripada 18 penerjun esok untuk ke final.
Dhabitah mengumpul 67.50 mata pada terjunan pertama, diikuti 63 mata (kedua), 54 mata (ketiga) dan 48 mata (keempat) sebelum mengakhiri saingan dengan 51.15 pada percubaan terakhir.
Pemenang pingat emas Olimpik Tokyo, Chen Yiwen dari China mengungguli saingan dengan catatan 356.40 mata.
Penerjun Australia, Keeney Maddison di tangga kedua dengan 337.5 mata, manakala Vazquez Montano Aranza dari Mexico, ketiga (321.75).
Acara separuh akhir akan berlangsung di Pusat Akuatik Saint-Denis bermula jam 4 petang esok.-Harian Metro Online