Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: UMNO akan memulakan tindakan undang-undang terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Datuk Muhamad Jailani Khamis bagi menuntut ganti rugi dan pampasan sebanyak RM100 juta.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu, malam ini.

“Mesyuarat mempertimbangkan dan bersetuju untuk memulakan tindakan undang-undang bagi menuntut ganti rugi dan pampasan sebanyak RM100 juta.

“Ia sebagaimana perjanjian yang dimeterai terhadap wakil rakyat yang sudah meninggalkan dan membelakangi pendirian parti,” katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat itu, malam ini.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan sebelum ini mengumumkan Muhamad Jailani yang sebelum ini digantung keahlian dalam UMNO, sah menyertai PAS berkuat kuasa Jun tahun lalu.

Muhamad Jailani menang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) atas tiket PKR. 

Beliau adalah antara empat ADUN Pakatan Harapan (PH) yang melompat menyokong BN bagi mengambil alih pentadbiran negeri pada Mac 2020.

Beliau dikatakan dipecat PKR, sebelum mengumumkan menyertai UMNO bagi membolehkan dipilih bertanding semula mewakili BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 20 November 2021.

Pada mesyuarat itu juga, Asyraf Wajdi berkata, ia memutuskan seluruh Ahli MKT UMNO berkampung dan menyelaras gerak kerja jentera parti dan Barisan Nasional ketika pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Nenggiri berlangsung.

“Ahli MKT akan menyelaras gerak kerja itu di setiap Pusat Daerah Mengundi di N43 DUN Nenggiri bermula hari penamaan calon pada Sabtu ini,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, mesyuarat MKT hari ini turut mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan secara kejam ke atas bekas Perdana Menteri, Ismail Haniyeh di Tehran, Iran.

“Pembunuhan pimpinan tertinggi Hamas yang memainkan peranan utama dalam usaha genjatan senjata demi keamanan di Gaza ini membuktikan kebaculan dan kegilaan zionis Israel yang berterusan melakukan pembunuhan beramai-ramai ke atas rakyat Palestin.

“UMNO bertekad untuk terus mendokong perjuangan pembebasan Palestin dan sentiasa bersama dengan saudara kami di kalangan Hamas, Fatah serta seluruh rakyat Palestin yang sekian lama ditindas,” katanya.-BH Online