Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Nilai output kasar sektor pembuatan melonjak 7.5 peratus setahun kepada RM1.89 trilion pada 2022, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dana laporan Banci Ekonomi 2023.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata peningkatan itu disokong terutamanya oleh subsektor produk petroleum, kimia, getah dan plastik yang meningkat 9.9 peratus kepada RM579.6 bilion (2015: RM299.1 bilion).

“Ini diikuti oleh subsektor Produk elektrik, elektronik dan optikal dengan sumbangan 29.6 peratus dan bernilai RM560.7 bilion (2015: RM321.8 bilion). Kedua-dua subsektor ini mendapat kelebihan daripada peningkatan permintaan global bagi bekalan perubatan dan peranti elektronik, walaupun berdepan dengan cabaran yang dihadapi akibat pandemik COVID-19 sejak 2020.

“Justeru, ia menyumbang kepada trajektori pertumbuhan keseluruhan sektor berkenaan,” katanya.

Mohd Uzir berkata, seiring dengan peningkatan dalam output kasar, input perantaraan sektor pembuatan meningkat 7.6 peratus setahun kepada RM1.479 trilion berbanding RM884.8 bilion pada 2015.

Katanya, peningkatan perbelanjaan input perantaraan yang melebihi output kasar dipengaruhi terutamanya oleh harga pengeluar tempatan yang lebih tinggi serta kenaikan harga minyak mentah global dan komoditi sepanjang tempoh masa berkenaan.

“Sehubungan itu, nilai ditambah sektor pembuatan mencatatkan pertumbuhan tahunan sebanyak 7.1 peratus merekodkan RM414.9 bilion pada 2022 (2015: RM257.1 bilion).

“Penyumbang utama kepada kenaikan ini adalah subsektor produk petroleum, kimia, getah, dan plastik (sumbangan: 33.2 peratus) yang meningkat 8.5 peratus.

“Kedudukan kedua adalah subsektor produk elektrik, elektronik, dan optikal yang menyumbang 29.0 peratus dengan kadar pertumbuhan tahunan 8.3 peratus. Seterusnya, diikuti oleh subsektor produk makanan (sumbangan: 11.1 peratus), berkembang 7.5 peratus,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, bilangan pekerja yang terbabit dalam sektor pembuatan meningkat 1.5 peratus setahun kepada 2.3 juta orang pada 2022 (2015: 2.1 juta orang).

“Subsektor produk elektrik, elektronik dan optikal menggaji bilangan pekerja tertinggi iaitu 629,900 orang yang mewakili 26.8 peratus. Seterusnya, subsektor produk petroleum, kimia, getah dan plastik menggaji seramai 437,600 orang (sumbangan: 18.7 peratus) pada 2022.

“Hampir 60 peratus atau 59.5 peratus pekerja terbabit dalam industri berorientasikan eksport. Sementara, selebihnya iaitu 40.5 peratus berada dalam industri berorientasikan domestik terutamanya yang terbabit dalam pembuatan prosesan makanan; produk kulit & kasut dan peralatan kenderaan,” katanya.

Mohd Uzir berkata, pekerja separuh mahir mempunyai bilangan tertinggi dengan 1.7 juta orang (72.7 peratus), diikuti pekerja mahir (18.2 peratus) dan pekerja berkemahiran rendah (9.1 peratus) pada 2022.

Katanya, hampir 50 peratus daripada keseluruhan pekerja dalam sektor itu mempunyai kelayakan tertinggi iaitu SPM/SPM(V) atau setaraf.

“Jumlah gaji & upah dibayar dalam sektor pembuatan berkembang sebanyak 5.8 peratus setahun kepada RM97.2 bilion pada 2022. Purata gaji & upah dalam sektor pembuatan berjumlah RM3,513 sebulan pada tahun dikaji.

“Subsektor produk elektrik, elektronik dan optikal merekodkan purata gaji & upah tertinggi iaitu RM4,361 sebulan. Sebaliknya, purata gaji & upah terendah adalah dalam subsektor produk tekstil, pakaian, kulit dan kasut iaitu RM2,249 sebulan.

“Selain itu, pekerja mahir menerima purata gaji & upah tertinggi iaitu RM8,068 sebulan, diikuti oleh pekerja separuh mahir (RM2,578 sebulan) dan pekerja berkemahiran rendah (RM2,030 sebulan),” katanya.-BH Online