Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Seremban: Semua pihak perlu menghentikan polemik berkaitan sumbangan dan tajaan daripada syarikat minuman keras kepada pihak sekolah kerana penegasan sudah dibuat oleh Jemaah Menteri dan Kementerian Pendidikan (KPM) berhubung perkara berkenaan.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, KPM kekal dengan pekeliling dikeluarkan pada 2018 yang antara lain melarang pihak sekolah menerima sumbangan dan tajaan daripada syarikat minuman keras.

Katanya, keputusan itu adalah yang terbaik untuk kepentingan semua pihak dan tidak harus dijadikan polemik berterusan.

“Saya fikir sudah cukup dengan penegasan yang dibuat oleh mesyuarat Jemaah Menteri dan penegasan oleh KPM sendiri, saya rasa tidak ada apa-apa isu lagi yang berbangkit.

“Itulah penegasan yang telah dibuat berulang kali dan kita (KPM) kekal dengan penegasan tersebut,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Pemasyhuran Kolej Tingkatan Enam Tuanku Muhriz (KTETM) di Taman Forest Heights, di sini, semalam.

Beliau mengulas isu sumbangan dan tajaan daripada syarikat minuman keras kepada pihak sekolah yang menimbulkan polemik berterusan susulan penganjuran program amal di sebuah sekolah yang membabitkan sumbangan syarikat berkenaan seperti dilaporkan media, baru-baru ini.

Media sebelum ini melaporkan Mesyuarat Jemaah Menteri (MJM) baru-baru ini bersetuju mengekalkan garis panduan sedia ada yang antara lain menggariskan aktiviti sumbangan dana kepada sekolah tidak boleh memapar dan mempromosi minuman keras di dalam premis sekolah.

KPM dalam satu kenyataan turut menegaskan pihaknya mengambil perhatian serius isu penganjuran program amal di sebuah sekolah yang melibatkan sumbangan syarikat minuman keras seperti dilaporkan media.

Kementerian itu juga mengingatkan pentadbir institusi pendidikan di bawah KPM untuk mematuhi garis panduan sedia ada berkaitan dengan penganjuran program dan penerimaan sumbangan.

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, semua pihak perlu mematuhi keputusan terbabit untuk memastikan polemik berkenaan tidak lagi berlanjutan.

Beliau berkata, seharusnya semua pihak perlu memberikan fokus kepada perkara atau isu-isu lain yang lebih besar membabitkan bidang pendidikan.

“Jadi, saya ingat kita sudah boleh hentikan polemik ini dan berikan tumpuan kepada isu-isu yang lebih penting dan lebih besar,” katanya.

Berhubung pemasyhuran Kolej Tingkatan Enam Tuanku Muhriz, Fadhlina berkata, pemasyhuran itu sangat bermakna kerana ia suatu pengiktirafan terhadap kolej itu yang dulunya dinamakan sebagai Kolej Tingkatan Enam Forest Heights Seremban.

Menurutnya, KPM mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir yang berkenan mencemar duli merasmikan majlis terbabit.

“Majlis ini begitu penting dalam usaha kita mengangkat martabat pendidikan negara, khususnya pasca keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2023, dalam usaha kita memastikan pelajar-pelajar tingkatan enam terus diberikan perhatian,” katanya.-Harian Metro Online