Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Tayangan video ‘Riwayat Hidup Sultan Ibrahim’ menjadi antara pengisian istimewa pada Majlis Santapan Diraja, malam ini, sempena istiadat pertabalan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17.

Ditayangkan menerusi skrin di dalam Dewan Santapan Utama, Istana Negara, di sini, video itu memaparkan peristiwa penting dalam kehidupan Sultan Ibrahim, antaranya detik baginda diputerakan pada 22 November 1958.

Turut dipaparkan dalam video istimewa berdurasi 3.11 minit itu ialah perkahwinan diraja pada 22 September 1982 antara Seri Paduka dengan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah yang turut berkenan berangkat ke majlis santapan, malam ini.nullnull

Selain itu, video ditayangkan termasuk pemasyhuran Sultan Ibrahim sebagai Sultan Johor pada 23 Januari 2010, Istiadat Melafaz dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Januari lalu, serta Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Ke-17 yang berlangsung pagi tadi.

Turut berangkat ke majlis santapan itu ialah Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah, dan isteri, Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, serta Raja Bahrain, Sheikh Hamad bin Isa Al Khalifa.

null

Raja-Raja Melayu yang berangkat ke majlis berkenaan ialah Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, dan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah; Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, dan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud.

Seterusnya, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; serta Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah, dan Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Arif.

Turut berangkat ialah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, dan Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor; Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil; serta Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

null

Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra, turut berangkat.

Hadir sama ialah Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak; Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam; Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin; dan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Timbalan-timbalan Perdana Menteri, iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dan isteri, Datin Seri Hamidah Khamis, serta Datuk Seri Fadillah Yusof dan isteri, Datin Seri Ruziah Mohd Tahir, adalah antara 700 tetamu yang hadir pada majlis santapan itu.

Turut hadir, Menteri Kanan Singapura yang juga bekas Perdana Menteri negara itu, Lee Hsien Loong, bersama isteri, Ho Ching; Menteri Komunikasi yang juga Menteri Pengerusi Jawatankuasa Khas Acara-Acara Sempena Istiadat Pertabalan Agong, Fahmi Fadzil, dan isteri, Azrina Puteri Mohamed Mahyuddin; barisan Jemaah Menteri, duta dan perwakilan asing serta pegawai kanan kerajaan.

Terdahulu, sebaik saja keberangkatan tiba Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah ke dalam dewan, lagu Negaraku dimainkan diikuti bacaan doa oleh Pegawai Agama Istana Negara, Datuk Munir Md Salleh.

Sambil menjamu selera dengan menu pilihan Sultan Nazrin, hadirin dihiburkan dengan lagu-lagu Johor, antaranya Seri Johor, Zapin Saujana dan Pusaka Bangsa oleh Orkestra Tradisional Malaysia dari Istana Budaya.

Datuk Paduka Maharaja Lela Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini dalam temu bual bersama Bernama pada 1 Julai lalu, memberitahu bahawa Sultan Ibrahim sendiri telah memberi perkenan kepada Sultan Nazrin untuk memilih menu sajian pada Majlis Santapan Diraja malam ini.

Persembahan muzik instrumental ketika santapan, yang diselaraskan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, turut menyajikan lagu-lagu malar segar seperti Sway, Sedetik Lebih, Widuri, Tunggu Sekejap, dan Can’t Help Falling in Love. – BERNAMA