Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi ruang secukupnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan terhadap pegawai dan anggota yang terbabit kes jenayah.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata pihaknya menyerahkan kepada PDRM untuk menjalankan siasatan sehingga pelakunya dibawa ke muka pengadilan.nullnull
Malah, katanya, KDN sentiasa memandang berat sebarang salah laku yang berlaku dalam kalangan anggota atau pegawai yang bertugas di bawah kementerian diterajuinya.
“Soal integriti, pelanggaran terhadap undang-undang adalah keutamaan yang kita tekankan. Kalau berlaku perkara seperti itu, ruang seluasnya kita berikan kepada pihak polis untuk membuat siasatan.
null
“Kalau semuanya terkumpul maklumat, mereka (PDRM) bebas untuk melakukan tindakan selanjutnya, membawa ke muka pengadilan dan sebagainya.
“Kepimpinan KDN tidak akan sama sekali mempertahankan perbuatan seperti ini… proses siasatan sewajarnya mesti dilakukan,” katanya pada sidang media selepas pasca Mesyuarat Kabinet di Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas penahanan seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal berhubung kes bunuh graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Nur Farah Kartini, Isnin lalu.
Selain itu, enam individu termasuk tiga anggota polis ditahan berhubung kehilangan bahan api jenis kerosin Jet- AI di Pangkalan Udara Semenanjung, Pasukan Gerakan Udara (PGU) PDRM di Subang, Selangor, Selasa lalu.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata dasar KDN tidak akan berkompromi sama sekali terhadap sebarang bentuk perbuatan yang menyalahi prinsip integriti terutama membabitkan PDRM sebagai agensi penguat kuasa undang-undang terbesar negara ini.
“Mereka (PDRM) harus ‘whiter than whites’ (yang paling bersih). Itu yang diperlukan sekiranya seseorang itu sudah memilih untuk menyertai PDRM, maka kepatuhan kepada undang-undang itu mesti maksimum.
“Tidak boleh ada kompromi bab itu (patuh undang-undang), tetapi kalau berlaku juga (berbuat jenayah), maka biar proses siasatan mengambil tempat,” katanya.-BH Online