Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu pindaan kepada Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan bagi memperkasakan Undang-Undang Syariah tidak dilakukan secara tergopoh-gopoh.

Sehubungan itu, Perdana Menteri mengesyorkan proses pindaan itu dilakukan dengan teliti mengambil kira pandangan semua pihak sama ada Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil, termasuk pakar undang-undang antarabangsa.

Untuk itu, beliau mengarahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar untuk menyelaras usaha itu.

“Kita mahu supaya diteliti betul-betul kerana sebaik sahaja dibentangkan, ia menjadi satu dokumen yang kukuh, disepakati oleh semua negeri, mufti dan ulama.

“Malah, saya minta JAKIM dan Mohd Na’im untuk cuba menyelaraskan dan minta pandangan pakar perundangan, kerana harus dijadikan dokumen penting yang boleh ditelaah oleh pakar antarabangsa.

“Ini bukan satu dalil untuk melengahkan atau untuk meremehkan usaha lalu, malah kita memang memanfaatkan tetapi memang ada kelemahan besar dalam peruntukan.

“Jadi bukan sahaja dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) tapi harus rujuk pakar antarabangsa. Kefahaman itu perlu menyeluruh.

“Bahkan perbincangan juga harus membabitkan bukan sahaja Mahkamah Syariah tetapi juga Mahkamah Sivil, pakar perundangan, hakim terutama Ketua Hakim Negara serta hakim-hakim kanan dalam Mahkamah Sivil supaya kefahaman itu lebih,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Konvensyen Memartabatkan Perundangan dan Kehakiman Syariah Malaysia di sini, hari ini.

Turut hadir, Mohd Na’im dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Mengenai perkembangan pindaan peruntukan itu, Perdana Menteri berkata, beliau baru selepas menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI), minggu lalu.

Sebelum ini, Anwar turut menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi meneruskan perbincangan mengenai pindaan terkait Rang Undang-Undang (RUU) Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU355).

“Pada minggu lalu saya menghadap Pengerusi MKI yang baru, Sultan Nazrin dan setuju dengan kerangka awal yang dibentangkan oleh jawatankuasa pakar dan disampaikan kepada Mohd Na’im.

“Saya ucap terima kepada beliau yang nampaknya menyegerakan proses ini dan Sultan Nazrin menyatakan kesediaan baginda untuk berbincang dalam mesyuarat (MKI) Ogos ini.

“Maknanya ada perubahan, kesediaan dan saya harap dari semua negeri, semua dalam kalangan melihat ini secara positif. 

“Insya-Allah Ogos ini, kita bentangkan. Namun berdasarkan perbincangan saya dengan Sultan Nazrin, sebaiknya diangkat kepada pihak antarabangsa, rujuk semula sebelum dirujuk kepada AGC. Kemudian kepada sidang Majlis Raja-Raja Melayu kerana soal Islam dan adat mesti mendapat kelulusan Majlis Raja-Raja,” katanya.-BH Online