Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang bakal diumum kelak antara terbaik pernah diperkenal kerajaan.

Perdana Menteri berkata kenaikan itu akan tetap dipenuhi yang bakal menyaksikan gaji kakitangan awam dinaikkan melebihi 13 peratus bermula Disember ini.

Perdana Menteri berkata, beliau dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan mencari jalan memastikan komitmen itu dijayakan demi kebajikan 1.5 juta penjawat awam, biarpun hutang ditanggung kerajaan kini sudah mencecah RM1.5 trilion. 

“(Mengenai) skim pelarasan gaji perkhidmatan awam, ada kata Anwar tak praktikal. Satu pihak lagi kata tak mungkin berlaku. JPA kerja bertungkus lumus dan kita akan cari jalan. Saya tak mahu satu bidang (perkhidmatan) pun tertinggal,” katanya. 

Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan Jubli Emas Penubuhan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) di sini hari ini. 

Pada 1 Mei lalu, Anwar mengumumkan penjawat awam bakal menikmati kenaikan gaji lebih 13 peratus yang juga kadar tertinggi dalam sejarah perkhidmatan awam negara, seiring pelaksanaan SSPA.

Perdana Menteri memaklumkan sebelum ini jumlah paling tinggi kenaikan gaji penjawat awam adalah pada kadar 13 peratus, namun Kerajaan Madani akan memastikan kadar kenaikan kali ini lebih tinggi daripada itu.-BH Online