Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menyeru kementerian dan agensi kerajaan untuk meneroka dan memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan lagi kecekapan perkhidmatan kepada rakyat.

Beliau berkata, hal ini kerana AI boleh membantu mengurangkan beban kerja seperti kemasukan data, pengurusan rekod dan penyimpanan, selain dapat menjimatkan masa serta mengurangkan kemungkinan kesilapan manusia.

“Kita lihat mereka ada memanfaatkan AI untuk aplikasi tertentu, tetapi belum digunakan secara menyeluruh.

“Jadi, sekiranya ada sebarang teknologi AI untuk membantu melancarkan proses dan aspek tadbir urus dan kecekapan bagi perkhidmatan yang disediakan agensi ini, maka kita amat alu-alukan,” katanya selepas melancarkan Pusat Pengalaman AI CelcomDigi di Hub CelcomDigi, Subang Jaya di sini hari ini.

Mengenai Pusat Pengalaman AI, Fahmi mengajak orang ramai untuk melawat pusat berkenaan kerana ia memperagakan pelbagai teknologi AI yang sedang digunakan negara sama ada projek rintis atau pengkomersialan.

“Saya harap Pusat Pengalaman AI ini dikunjungi bukan sahaja oleh para pelajar, tetapi juga penjawat awam, Ketua Setiausaha Negara dan ramai lagi untuk melihat dan bertanya kepada syarikat ini aplikasi yang mungkin sesuai dan bermanfaat dengan keperluan setiap kementerian. 

“Sebagai contoh, tadi saya lihat aplikasi penggunaan dron untuk kenal pasti pergerakan tanah bagi kawasan cerun dan kita tahu pihak Kementerian Kerja Raya, Jabatan Kerja Raya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mungkin berminat kerana ada pelbagai teknologi yang boleh dimanfaatkan, (namun) terpulang kepada kesesuaian bidang tugas mereka,” katanya. -Harian Metro Online