Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kementerian Pendidikan (KPM) sedang mempertimbangkan penyediaan elaun kos sara hidup pelajar tingkatan enam sebagai sebahagian usaha menarik lebih ramai pelajar menyertai program itu.

Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata, turut dipertimbangkan KPM juga elaun untuk guru penolong kanan tingkatan enam dan bantuan geran per kapita lebih tinggi bagi mata pelajaran Sijil Tinggi Pendidikan Malaysia (STPM).

“Cadangan itu masih di peringkat permulaan kerana Pelan Hala Tuju Pendidikan Tingkatan Enam 2024-2030 baru saja kami putuskan pada Mei lalu dan kami akan teruskan untuk memastikan tingkatan enam menjadi pilihan utama anak kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Mohd Hasnizan Harun (PN-Hulu Selangor) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Menjawab soalan mengenai penjenamaan semula tingkatan enam, Kah Woh berkata, KPM memberi tumpuan kepada aspek kemudahan dan infrastruktur pusat tingkatan enam selain mempertingkat sukatan pelajaran peperiksaan STPM.

Di bawah rancangan itu, kementerian menyenaraikan tujuh objektif antaranya menjadikan tingkatan enam sebagai laluan utama dan pilihan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk melanjutkan pelajaran.

Selain itu katanya, mempertingkatkan sistem pendidikan tingkatan enam agar lebih menarik dan setanding dengan sistem pendidikan prauniversiti yang lain.

“(Selain itu) meningkatkan kebolehpasaran lepasan STPM sama ada dalam dan luar negara; menyediakan lebih banyak peluang kerjaya dan prospek untuk lepasan STPM; memupuk sifat kepimpinan dalam diri pelajar tingkatan enam serta membangunkan profesionalisme guru tingkatan,” katanya

Katanya, KPM sentiasa komited untuk memperkasa dan memartabatkan pendidikan tingkatan enam dari semasa ke semasa dengan mengambil kira semua aspek agar laluan ini kekal menjadi salah satu pilihan utama lepasan SPM bagi meneruskan pengajian sehingga ke peringkat yang lebih tinggi.-Harian Metro Online